KUALA TERENGGANU – Sehari selepas tular di media sosial, kolam berlumut dan struktur kayu reput berhampiran Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini kembali pulih selepas diselenggara pihak pengurusan.
Tinjauan media hari ini mendapati kolam tersebut sudah dibersihkan manakala beberapa struktur kayu yang rosak turut diganti baharu.
Pengurus Besar TTI, Mohd. Fadhil Wahab menegaskan pihaknya tidak pernah mengabaikan penyelenggaraan kawasan berkenaan yang merupakan antara tarikan pelancongan ikonik negeri Terengganu.
“Kerja-kerja penyelenggaraan TTI yang berkeluasan 23 hektar sedang dilaksanakan secara berperingkat. Hujan lebat berturut-turut sebelum ini menyebabkan air kolam kotor dan berlumut, namun ia sudah dibersihkan semalam.
“Gambar kolam berlumut yang tular itu dirakam sebelum kerja pembersihan dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, usaha penyelenggaraan di kawasan TTI termasuk Masjid Kristal sudah dilaksanakan sejak berakhirnya pandemik Covid-19 kira-kira tiga tahun lalu, namun ia memerlukan masa berikutan keluasan kawasan serta kos yang tinggi.
Terdahulu, beberapa pengunjung yang datang ketika musim cuti persekolahan meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial selepas mendapati beberapa fasiliti di kawasan tersebut kelihatan uzur dan tidak terjaga.

