KUALA LUMPUR – Anggota kumpulan muzik Dukes, Umar Ammar harini berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) di Universiti Malaya (UM), sekali gus membuktikan bahawa minat dan pendidikan mampu berjalan seiring.
Umar berkata, hari konvokesyennya menjadi lebih istimewa kerana ia menandakan kejayaannya menamatkan pengajian on time walaupun terpaksa membahagikan masa antara kuliah, tugasan undang-undang serta jadual persembahan bersama rakan sekumpulan.
“Alhamdulillah, saya baru saja grad hari ini. Rezeki yang Allah beri, saya dapat habiskan degree tepat pada masanya. Kami tubuh band Dukes sejak tahun kedua di UM. Saya tak pernah belajar muzik secara formal, cuma main sebab minat… masa COVID saya tak tahu nak buat apa, jadi saya belajar sendiri,” katanya ketika dihubungi MYBERITA.
Menurut Umar, perjalanan menyeimbangkan dunia akademik dan muzik bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi apabila karier seni mereka semakin berkembang dengan tawaran persembahan serta rakaman yang datang tanpa henti.
“Ada hari pergi kelas, balik buat assignment, malam atau hujung minggu pula ada show. Ada juga hari biasa kami kena turun recording. Bukan semuanya lancar, tapi kami tetap ‘push forward’,” katanya.
Umar menjelaskan bahawa ramai sering mempersoalkan pilihannya antara muzik atau undang-undang, namun bagi dirinya kedua-duanya adalah impian yang sama penting.
“Orang selalu tanya, ‘Awak nak jadi lawyer atau buat muzik?’ Mereka fikir kita cuma boleh pilih satu. Tapi bagi saya itu semua ilusi. Kalau kita kerja keras dan ada rezeki, dua-dua boleh jalan sekali.”
Walaupun masih belum memasuki fasa chambering, Umar percaya gelaran graduan undang-undang memberikan keyakinan baharu untuk meneruskan kedua-dua perjalanan menjadi peguam dan pada masa sama terus berkarya dalam industri muzik tempatan.
“Impian saya nak buat mak ayah bangga, nak jadi peguam, dan pada masa sama nak jadi ‘rockstar’ dengan karya kami sendiri. Mewarnai industri seni Malaysia dengan kawan-kawan saya.”
Mengakhiri pesannya, Umar menitipkan kata semangat kepada anak muda yang menghadapi dilema antara akademik dan minat.
“Kalau rasa minat lain tapi belajar benda lain, sebenarnya dua-dua boleh buat. Saya mungkin bertuah ada support system yang kuat, tapi kalau ada kemahuan, pasti ada jalan. Teruskan berusaha, bekerja keras dan bijak… insya-Allah impian korang boleh jadi nyata.”

