KUALA LUMPUR – Seramai 53.9 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini memilih laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus menghampiri sasaran 70 peratus yang ditetapkan menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu menunjukkan usaha kerajaan dalam merombak ekosistem pendidikan negara ke arah bidang berkemahiran tinggi berada pada landasan yang betul.
“Pada akhir RMK13 nanti, kita berhasrat supaya 70 peratus lepasan SPM berada dalam sektor TVET. Setakat ini, kita telah mencapai 53.9 peratus, bermakna hanya tinggal kira-kira 17 peratus lagi untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) British Malaysian Institute (BMI) di sini hari ini.
Menurut beliau, ketika ini terdapat seramai 439,000 pelajar TVET di seluruh negara melibatkan 1,398 institusi, satu angka yang dianggap signifikan dalam usaha merubah landskap pendidikan negara.
“Matlamat untuk mengubah ekosistem pendidikan pada akhir RMK13 mampu dicapai melalui usaha berterusan UniKL dan fakulti-fakulti di bawah universiti berkenaan, selain sokongan daripada institusi TVET lain, tanpa menafikan kepentingan kursus tradisional bagi sektor yang tidak memerlukan kepakaran tinggi,” tambahnya.
Sementara itu, UniKL BMI menyifatkan lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri itu sebagai pengiktirafan terhadap peranan institusi tersebut sebagai peneraju pembangunan modal insan dalam bidang TVET, khususnya dalam sektor tenaga elektrik, elektronik, semikonduktor, telekomunikasi dan bioperubatan elektronik.
Semasa lawatan berkenaan, Ahmad Zahid turut merasmikan bangunan net-zero/energy-plus pertama di Malaysia, Sustainable Energy Living Lab (SELL), yang dilengkapi panel solar di bumbung dan dinding, sistem penyimpanan tenaga termal dan elektrikal, serta teknologi pengurusan bangunan pintar yang mampu menjana penjimatan tenaga sehingga 51 peratus.

