KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan mendalam terhadap pendedahan kes rasuah yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk di peringkat tertinggi kepimpinan.
Dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas, Baginda menyampaikan sindiran tajam berhubung krisis integriti itu.
“Agaknya selepas ini saya patut lantik sarjan sahaja jadi Panglima Angkatan Tentera (P.A.T.).”
Kenyataan tersebut mencerminkan ketegasan Baginda terhadap keruntuhan integriti dalam institusi pertahanan negara, yang disifatkan bukan lagi isu terpencil, sebaliknya sebahagian daripada masalah sistemik yang lebih besar.
Baginda menegaskan bahawa kes rasuah yang berlaku hanyalah “sekulumit daripada segunung”, atau the tip of the iceberg, dan memberi amaran bahawa pemburuan terhadap perasuah akan diteruskan tanpa mengira jawatan, pangkat atau institusi.
“Saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah, dan nampaknya saya telah berjaya jumpa,” titah Baginda, sambil menegaskan bahawa jabatan-jabatan lain termasuk Kastam, Imigresen, Polis serta individu dalam Dewan Parlimen sendiri tidak terkecuali daripada siasatan.
Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak lebih pantas, tegas dan telus, selain menuntut agar bukan sahaja penerima rasuah, malah pemberi serta ejen yang bersubahat dikenakan hukuman setimpal.
Baginda turut mengingatkan semua Ahli Yang Berhormat dan penjawat awam bahawa sebarang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dana awam atau perlindungan terhadap perasuah merupakan satu pengkhianatan terhadap negara.
Titah tegas itu sekali gus menjadi isyarat jelas bahawa isu rasuah bukan lagi sekadar wacana politik, sebaliknya ancaman serius terhadap kedaulatan, keselamatan dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

