Khamis, 11 Jun 2026

Malaysia kekal bebas virus nipah, DVS tingkat pemantauan

KUALA LUMPUR – Malaysia kekal bebas daripada virus Nipah setakat ini, namun langkah pemantauan dan kesiapsiagaan terus diperkukuh susulan laporan kes melibatkan manusia di West Bengal, India baru-baru ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi mencegah sebarang risiko kemasukan dan penularan penyakit tersebut ke dalam negara.

Menurut DVS, pemantauan berterusan dilaksanakan melalui aktiviti survelan tahunan terhadap babi domestik dan babi hutan bagi pengesanan awal penyakit.

“Pada tahun 2025, lebih daripada 2,000 sampel babi domestik dan 48 sampel babi hutan telah diuji dan semuanya menunjukkan keputusan negatif virus Nipah.

“DVS juga mengawal import daging babi dari luar negara, yang mana hanya negara yang bebas Nipah sahaja yang dibenarkan eksport ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

DVS menjelaskan kelawar buah dikenal pasti sebagai perumah semula jadi virus Nipah, manakala ternakan babi bertindak sebagai perumah pengganda yang boleh meningkatkan risiko penularan kepada manusia sekiranya langkah biosekuriti ladang tidak dipatuhi.

Sehubungan itu, penternak babi disaran sentiasa berwaspada, khususnya ladang yang berhampiran dusun buah-buahan atau mempunyai pokok buah di sekitar kawasan ladang yang boleh menarik kehadiran kelawar.

Antara langkah yang disarankan termasuk memantau kehadiran kelawar di kawasan ladang, mengurangkan faktor tarikan seperti pokok buah-buahan, memastikan amalan biosekuriti berada pada tahap tinggi serta melaporkan segera kepada DVS sekiranya terdapat tanda penyakit mencurigakan pada ternakan.

Penyakit Nipah merupakan penyakit wajib lapor di Malaysia. Orang awam dinasihatkan supaya tidak panik, mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.

Syahirah Zakaria
Syahirah Zakaria
syahirahzakaria@portalmyberita.com