Lelaki dipenjara 34 bulan, enam sebatan cabul dan rakam kakak OKU

BATU PAHAT – Perbuatan keji seorang lelaki yang tergamak mencabul, merakam serta menyimpan gambar dan video lucah kakak kandungnya yang juga orang kurang upaya (OKU) menerima pembalasan apabila Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 34 bulan serta enam sebatan terhadapnya.

Hukuman itu diputuskan Majistret, Arun Noval Dass selepas tertuduh berusia 28 tahun yang juga penganggur mengaku bersalah sebaik ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapannya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki bujang itu didakwa mencabul kehormatan kakak kandungnya berusia 35 tahun di sebuah rumah di Parit Raja pada jam 8.41 malam dan 9.10 malam, 20 Februari lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menyimpan bahan lucah berupa video dan gambar mangsa di dalam telefon bimbit miliknya pada tarikh, masa dan lokasi sama. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, ketika berada di rumah berkenaan, salah seorang kakak tertuduh terserempak dengan lelaki itu sedang melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa. Mangsa yang merupakan OKU dan terpaksa memakai lampin pakai buang ketika kejadian itu, berada di rumah bersama beberapa ahli keluarga lain.

Susulan laporan polis dibuat, tertuduh ditahan pada jam 1.05 pagi, 21 Februari lalu. Pemeriksaan lanjut terhadap telefon bimbitnya menemui rakaman video serta gambar lucah mangsa yang disimpan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

BACA JUGA:  Kejayaan Fakhrul raih 11A+ buat ramai tersentuh

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua, manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dihukum penjara 10 bulan.

Kesemua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 21 Februari lalu, manakala hukuman sebatan dilaksanakan secara berasingan.

Aqilah Nadhirah
Aqilah Nadhirah
aqilahnadhirah@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...