Selasa, 30 Jun 2026
spot_img
HomeHiburanAisha Retno anggap isu tukar lirik Rollerblade sekadar 'perbalahan manja' Malaysia-Indonesia

Aisha Retno anggap isu tukar lirik Rollerblade sekadar ‘perbalahan manja’ Malaysia-Indonesia

SHAH ALAM – Penyanyi Aisha Retno memilih untuk tidak melayan kecaman berhubung kontroversi penukaran lirik lagu Rollerblade, sebaliknya menganggap polemik itu sekadar ‘perbalahan manja’ yang sudah lama berlaku antara rakyat Malaysia dan Indonesia.

Aisha atau nama penuhnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata, isu berkenaan telah diserahkan kepada pihak berkaitan dan tidak memerlukan sebarang penjelasan daripadanya buat masa ini.

“Perkara ini sudah dibincangkan secara dalaman dengan pasukan legal (perundangan) dan semua pihak berkaitan, kita duduk diam dan santai.

“Biarkan orang terus berkata-kata kerana sudah biasa dengan kontroversi sebelum ini.

“Kita tahu mana yang benar dan mana yang salah. Kalau benar-benar bersalah, sudah lama saya buat video penjelasan,” katanya.

Mengulas lanjut, penyanyi berusia 25 tahun itu berkata, dirinya bukan individu yang sesuai untuk mengulas secara mendalam mengenai isu tersebut kerana ia sering menjadi perdebatan melibatkan kedua-dua negara.

“Saya bukan orang yang tepat untuk menjawab kerana perkara seperti ini sudah lama berlaku antara Malaysia dan Indonesia.

“Kalau saya bersuara pun nanti orang akan kata saya berat sebelah. Secara peribadi, ini bukan satu isu besar, hanya isu kecil manja abang adik Malaysia-Indonesia yang sudah berlaku sejak dulu.

“Namun, saya sedar setiap orang berhak dengan pendapat masing-masing,” katanya.

Aisha yang mempunyai darah campuran Malaysia dan Indonesia turut memahami mengapa isu itu mendapat perhatian dalam kalangan netizen Indonesia, khususnya kerana semangat mereka mempertahankan bahasa dan budaya sendiri.

“Saya hormat rakyat Indonesia kerana mereka sangat berbangga dengan bahasa dan budaya sendiri serta sentiasa menyokong produk tempatan. Mungkin sebab itu mereka lebih sensitif apabila timbul perkara begini.

“Orang Malaysia pula lebih tenang dalam berdepan isu seperti ini tetapi kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangan.

“Saya sendiri mempunyai darah campuran Indonesia, jadi saya tak mahu memihak kepada mana-mana. Biarlah orang terus mengecam dan saya tak perlu membuktikan apa-apa kerana ini melibatkan siaran televisyen nasional,” ujarnya.

Terdahulu, persembahan Aisha bersama penyanyi Indonesia, Anggrek, di pentas akhir Talk To My Manager 2 (TTMM2) mencetuskan perdebatan dalam media sosial selepas didakwa menukar lirik lagu Rollerblade nyanyian kumpulan Nona.

Kontroversi itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen Indonesia yang mendakwa lagu tersebut merupakan karya milik negara mereka dan lirik asal tidak sepatutnya diubah.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-
Google search engine