Isnin, 13 Julai 2026
spot_img
SukanArmin Zahryl pecah rekod kebangsaan dua kali dalam 24 jam, sah pelari...

Armin Zahryl pecah rekod kebangsaan dua kali dalam 24 jam, sah pelari berpagar terpantas negara

KUALA LUMPUR – Jaguh muda olahraga negara, Armin Zahryl Abd. Latif membuktikan dirinya kini berada di kelas tersendiri apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 110 meter (m) lari berpagar sebanyak dua kali dalam tempoh kurang 24 jam pada Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 Tahun (B23) 2026 di Ordos, China.

Atlet berusia 21 tahun itu menampilkan larian cemerlang pada aksi final apabila mencatat masa 13.58 saat (s) untuk menamatkan saingan di tempat keempat, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan 13.63s yang dilakukannya pada saingan saringan sehari sebelum itu.

Walaupun terlepas peluang meraih pingat, pencapaian tersebut dianggap cukup bermakna apabila Armin sekali lagi mengatasi rekod kebangsaan miliknya sendiri, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai pelari 110m berpagar terpantas negara ketika ini.

Lebih membanggakan, catatan 13.58s itu turut memadam rekod lama 13.67s milik Rayzam Shah Wan Sofian yang bertahan hampir sembilan tahun sejak dilakukan pada 2017.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat memperbaiki rekod kebangsaan sekali lagi walaupun tidak berjaya menaiki podium. Ini memberi keyakinan bahawa saya berada di landasan yang tepat untuk terus bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Menurut Armin, pencapaian tersebut menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi menjelang kejohanan-kejohanan utama selepas ini.

Dalam perlumbaan itu, pingat emas dimenangi pelari tuan rumah, Zhao Shiqi dari China dengan catatan 13.38s, diikuti rakan senegaranya Zhang Zijun yang meraih perak menerusi catatan 13.41s.

Pingat gangsa pula menjadi milik atlet Qatar, Oumar Dadai yang mencatat masa 13.56s, hanya 0.02 saat lebih pantas daripada Armin.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Elvin Yap Zhi Xian turut mempamerkan aksi memberangsangkan apabila menamatkan perlumbaan di tempat keenam dengan catatan 13.85s.

Sebelum itu, Elvin turut mencipta rekod peribadi (PB) baharu 13.72s ketika saingan saringan, sekali gus membuktikan peningkatan prestasi memberangsangkan dalam acara tersebut.

Prestasi cemerlang Armin dan Elvin dilihat memberi sinar baharu kepada olahraga negara, khususnya dalam acara 110m lari berpagar lelaki yang kini kembali memiliki potensi untuk mencabar dominasi atlet terbaik Asia dan Asia Tenggara.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-