MINAB – Sebuah sekolah rendah di Iran yang dipenuhi kanak-kanak didakwa kekal dalam pangkalan data tentera Amerika Syarikat (AS) sebagai kemudahan ketenteraan, sebelum dua peluru berpandu Tomahawk membedil lokasi itu dalam satu serangan yang mengorbankan lebih 150 orang.
- Lebih memilukan, sekurang-kurangnya 123 kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas Sekolah Rendah Shajarah Tayyebeh di Minab pada 28 Februari lalu.
- Siasatan Bloomberg berdasarkan keterangan pegawai yang terlibat dalam siasatan dalaman Pentagon mendapati tragedi itu bukan berpunca daripada satu kesilapan tunggal, sebaliknya hasil rantaian kegagalan…
- Antara teknologi yang menjadi perhatian ialah Maven Smart System, sistem berasaskan AI dibangunkan Palantir Technologies yang digunakan tentera AS untuk menggabungkan lebih 150 sumber…
- Menurut pegawai yang dipetik Bloomberg, sebahagian anggota Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) didakwa terlalu bergantung kepada sistem berkenaan dan menjangkakan Maven mampu mengesan maklumat lapuk…
Lebih memilukan, sekurang-kurangnya 123 kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas Sekolah Rendah Shajarah Tayyebeh di Minab pada 28 Februari lalu.
Siasatan Bloomberg berdasarkan keterangan pegawai yang terlibat dalam siasatan dalaman Pentagon mendapati tragedi itu bukan berpunca daripada satu kesilapan tunggal, sebaliknya hasil rantaian kegagalan yang boleh dielakkan, termasuk maklumat perisikan lapuk, imej satelit lama serta kebergantungan berlebihan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI).
Antara teknologi yang menjadi perhatian ialah Maven Smart System, sistem berasaskan AI dibangunkan Palantir Technologies yang digunakan tentera AS untuk menggabungkan lebih 150 sumber data bagi membantu proses analisis dan penyelarasan operasi ketenteraan.
Menurut pegawai yang dipetik Bloomberg, sebahagian anggota Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) didakwa terlalu bergantung kepada sistem berkenaan dan menjangkakan Maven mampu mengesan maklumat lapuk atau percanggahan dalam data perisikan.
Bagaimanapun, lokasi sekolah berkenaan masih diklasifikasikan dalam sistem sebagai kemudahan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berdasarkan maklumat lama.
Sekolah itu dibina hampir sedekad lalu di atas tanah yang sebelum ini menjadi sebahagian kawasan unit tentera laut IRGC. Namun, Pentagon dilaporkan tidak mengemas kini klasifikasi lokasi tersebut sebelum serangan dilancarkan.
Malah, laporan menyebut pegawai penyasaran sebelum ini menggunakan imej satelit lama yang tidak menunjukkan kewujudan sekolah di lokasi berkenaan.
Tapak Minab kemudian dimasukkan bersama beberapa sasaran lain ke dalam Maven sebelum muncul sebagai antara sasaran yang dicadangkan untuk hari pertama operasi ketenteraan AS terhadap Iran.
Penggunaan sistem itu turut mempercepatkan proses penyediaan senarai sasaran yang sebelum ini mengambil masa berjam-jam kepada hanya beberapa minit.
Namun, kelajuan itu kini menjadi persoalan selepas siasatan mendapati beberapa peluang untuk mengenal pasti kesilapan tersebut terlepas sebelum serangan dilaksanakan.
Sebelum serangan, sasaran berkenaan melalui proses penilaian ketenteraan yang dikenali sebagai “kill chain”, termasuk penelitian oleh penganalisis perisikan, pakar imejan, pegawai penyasaran, penasihat undang-undang dan pegawai operasi.
Pada peringkat akhir, pegawai kanan perlu menentukan sama ada sasaran itu sah, maklumat perisikan mencukupi dan langkah munasabah sudah diambil bagi mengurangkan risiko terhadap orang awam.
Dalam kes Minab, jawapan kepada semua persoalan berkenaan ketika itu dilaporkan sebagai “ya”.
Siasatan turut mengaitkan kelemahan perlindungan orang awam dengan pengurangan besar kakitangan pasukan mitigasi kemudaratan awam Pentagon. Bloomberg melaporkan tiada anggota pasukan berkenaan meneliti lokasi Minab sebelum serangan.
Palantir bagaimanapun menolak tanggapan bahawa perisiannya menjadi punca tragedi itu.
Jurucakap syarikat menegaskan Palantir tidak bertanggungjawab terhadap data asas yang dimasukkan ke dalam sistem atau mengenal pasti kekurangan perisikan, selain berkata tiada bukti menunjukkan perisiannya menjadi punca serangan Minab.
Selepas kejadian itu, Palantir dilaporkan menambah keupayaan baharu pada Maven untuk menyemak semula maklumat perisikan dan mengesan faktor yang boleh membatalkan sesuatu sasaran serta percanggahan atau ketidaktepatan yang mungkin terlepas daripada semakan manusia.
Dalam perkembangan berkaitan, misi pencarian fakta disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini menyatakan terdapat alasan munasabah untuk mempercayai AS melakukan jenayah perang dalam dua serangan di Iran pada 28 Februari, termasuk serangan di Minab. Washington mempertikaikan dapatan misi tersebut.
Pentagon pula masih belum mendedahkan secara terbuka laporan penuh siasatan dalamannya mengenai kejadian itu.
Tragedi Minab kini menimbulkan persoalan lebih besar mengenai penggunaan AI dalam peperangan moden — khususnya apabila teknologi yang direka untuk mempercepatkan keputusan bergantung kepada data yang mungkin tidak lengkap atau sudah lapuk, sementara keputusan akhir tetap berada di tangan manusia. – Bloomberg
