KUALA LUMPUR – Pengakuan seorang guru mengenai kecederaan yang dialami dua kanak-kanak membawa kepada terbongkarnya kes penganiayaan membabitkan bapa tiri mereka, yang hari ini didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.
- Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 48 tahun selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menganiaya anak tirinya, masing-masing berusia 17…
- Selain denda, tertuduh diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 72 jam dalam tempoh enam bulan serta dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan…
- Mengikut pertuduhan, lelaki itu melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap kedua-dua mangsa di sebuah unit pangsapuri di Pudu Impian 2, Cheras, kira-kira 10.30 malam…
- Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 48 tahun selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menganiaya anak tirinya, masing-masing berusia 17 dan sembilan tahun.
Selain denda, tertuduh diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 72 jam dalam tempoh enam bulan serta dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM2,000 bagi seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lima bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap kedua-dua mangsa di sebuah unit pangsapuri di Pudu Impian 2, Cheras, kira-kira 10.30 malam pada 13 Ogos lalu.
Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Md Subri Hashim, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta sebagai pengajaran kepada tertuduh dan ibu bapa lain.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon hukuman diringankan dengan alasan hanya memperoleh pendapatan RM3,500 sebulan untuk menyara isteri yang tidak bekerja serta lima anak tiri.
“Saya minta diringankan sebab saya menanggung isteri yang tidak bekerja dan anak-anak. Saya berjanji saya tidak akan ulangi (kesalahan) lagi,” katanya.
Kes terbongkar selepas seorang guru membuat aduan berhubung kesan kecederaan fizikal yang dilihat pada tubuh salah seorang mangsa, sebelum polis menjalankan siasatan dan menahan tertuduh.
Berdasarkan fakta kes, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Laporan perubatan pula mengesahkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan fizikal. – KOSMO!
