JEMPOL – Pendidikan agama dan kemahiran teknikal bakal digabungkan menerusi pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Jempol yang akan menjadi sekolah aliran agama berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertama di Malaysia.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, sekolah berasrama penuh itu dibangunkan dengan kos RM98 juta di atas tapak seluas 14.22 hektar menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menurutnya, projek yang dijadualkan siap dalam tempoh tiga tahun itu bakal membuka laluan baharu kepada murid sekolah agama untuk menguasai kemahiran teknikal selari dengan kehendak industri dan keperluan negara.
“Kalau sebelum ini TVET hanya di kolej vokasional ataupun sekolah biasa, kita akan membawa model TVET ini ke SMKA. Insya-Allah, SMKA Jempol akan menjadi SMKA pertama yang membawa model sekolah agama TVET,” katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan sekolah berkenaan di sini, hari ini.
Fadhlina berharap projek itu dapat disiapkan mengikut jadual supaya pelaksanaan pendidikan TVET berteraskan agama dapat dimulakan secepat mungkin.
Sekolah tersebut akan dilengkapi blok pentadbiran dan akademik merangkumi 25 bilik darjah, makmal, bengkel, perpustakaan, dewan, kantin serta surau.
Kemudahan asrama yang disediakan pula mampu menempatkan sehingga 720 murid.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina berkata murid sekolah agama perlu digalakkan menguasai pelbagai bahasa bagi membantu mereka menyampaikan dakwah dan penerangan mengenai Islam dengan lebih berkesan.
Beliau mengambil contoh SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin di Pulau Pinang yang diangkat sebagai “Sekolah Dakwah” pertama negara apabila muridnya diberikan pendedahan dalam bahasa Cina, Tamil, Inggeris dan Arab, selain bahasa Melayu.
“Anak-anak sekolah agama sudah pastinya menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Dalam masa sama, mereka juga mesti diberikan penekanan terhadap bahasa lain kerana bahasa penting untuk menyampaikan dakwah secara lebih berkesan,” katanya.
Menurut Fadhlina, pembangunan pendidikan agama tidak boleh tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pembentukan sahsiah, budaya membaca, amanah dan integriti.
Katanya, nilai menolak rasuah serta mempertahankan kepimpinan bersih mesti diterapkan sejak di bangku sekolah.
“Soal menolak rasuah dan mempertahankan kepimpinan yang bersih perlu dididik sejak awal supaya kita dapat melahirkan pemimpin masa depan yang berkarakter serta berpegang teguh kepada nilai agama,” katanya.
Sehubungan itu, program seperti Nadwah Kepimpinan Islam akan terus diperkasakan bagi melahirkan generasi berprinsip, berintegriti dan mampu menyumbang kepada masyarakat.
