KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menuntut siasatan segera, telus dan tindakan tegas susulan kematian seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Kuala Pilah yang didakwa menjadi mangsa buli.
Asyraf Wajdi berkata, beliau amat sedih dan terkesan dengan berita kematian Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril yang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), malam tadi.
“Pagi ini amat sedih dan terkesan dengan berita kematian Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril, pelajar SMK Za’ba, Kuala Pilah, yang didakwa menjadi mangsa buli.
“Wajib disiasat segera, telus dan ambil tindakan tegas!” katanya menerusi media sosial hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebelum dibawa ke HTAN untuk mendapatkan rawatan.
Menurut sumber, mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan berasal dari Gemencheh, didakwa meninggal dunia akibat kejadian buli.
Sumber berkata, mangsa ditemukan pengsan di asrama sebelum kejadian dimaklumkan kepada warden yang kemudian membawa pelajar berkenaan ke wad kecemasan HTAN.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.
Sementara itu, seorang sepupu mangsa memaklumkan Allahyarham merupakan pelajar yang aktif dalam bidang sukan dan melanjutkan pengajian di sekolah berkenaan susulan kecemerlangannya dalam sukan bola baling.
Kesahihan dakwaan bahawa mangsa menjadi mangsa buli serta punca sebenar kematian bagaimanapun perlu ditentukan melalui siasatan pihak berkuasa. – kosmo
