KUALA LUMPUR – Pesawat jet persendirian yang dikaitkan dengan cubaan menyeludup 521 kilogram (kg) methamphetamine ke Manila, Filipina, dipercayai berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang tanpa membawa sebarang muatan dadah sebelum mengambil bekalan itu di Laos.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pesawat sewaan khas berkenaan berlepas dari Subang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos pada 1 Oktober lalu berdasarkan maklumat pihak berkuasa negara itu.
Menurutnya, pesawat berkenaan hanya dinaiki tiga individu iaitu seorang juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang rakyat Malaysia dan seorang penumpang warga Filipina.
“Dadah yang dirampas adalah untuk pasaran Manila, Filipina dan bukannya pasaran Malaysia. Pesawat berkenaan dipercayai digunakan untuk membawa muatan dadah tersebut dari Laos ke Manila,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Hussein berkata, pesawat itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan sebelum dua kenderaan tiba di kawasan lapangan terbang kira-kira 1.30 tengah hari.
Katanya, beberapa kakitangan lapangan terbang kemudian membantu memindahkan 23 beg dari kenderaan berkenaan ke pesawat.
“Pemeriksaan ke atas kesemua 23 beg berkenaan menemukan 500 bungkusan dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 521 kg,” katanya.
Susulan operasi pihak berkuasa Laos, 13 individu ditahan termasuk tiga individu yang menaiki pesawat berkenaan dari Subang.
Turut ditahan 10 warga Laos membabitkan tiga kakitangan syarikat perkhidmatan darat lapangan terbang dan tujuh kakitangan yang mengendalikan mesin pengimbas sinar-X.
Kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut pihak berkuasa Laos.
Dalam perkembangan sama, Hussein berkata PDRM turut memulakan siasatan menyeluruh berhubung kes berkenaan dan akan menghantar pegawai JSJN ke Laos dalam masa terdekat bagi merakam percakapan suspek.
“Langkah ini bertujuan mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan sindiket dadah yang terlibat, terutama kemungkinan pembabitan anggota sindiket di Malaysia,” katanya.
Perkembangan itu memperjelas bahawa pesawat berkenaan dipercayai tidak membawa dadah ketika berlepas dari Subang, sebaliknya muatan 521 kg methamphetamine itu diperoleh selepas pesawat tiba di Laos sebelum dipercayai dibawa ke Manila.
