KUANTAN – Semua pengusaha kedai vape di Pahang diberi tempoh sehingga 31 Disember tahun ini untuk menghabiskan stok rokok elektronik masing-masing sebelum larangan sepenuhnya berkuat kuasa mulai tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menghentikan pengeluaran lesen baharu bagi penjualan produk berkenaan.
“Kerajaan Pahang telah memutuskan untuk melarang aktiviti menghisap vape dan penggunaan rokok elektronik. Sebaik sahaja larangan dikuatkuasakan, PBT akan digerakkan untuk menjalankan penguatkuasaan serta memeriksa premis secara berkala bagi memastikan tiada penjualan haram,” katanya.
Menurut beliau, langkah itu diambil bagi mengekang penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar yang dikhuatiri menjejaskan masa depan generasi muda negeri ini.
“Kami menasihatkan peniaga supaya mematuhi larangan ini dan tidak membuat stok baharu. Kerajaan negeri tidak bercadang untuk menarik balik pengharaman tersebut,” tegasnya.
Bagi meningkatkan kesedaran awam, PBT akan mengedarkan risalah dan memasang kain rentang berhubung larangan berkenaan, selain mengingatkan ibu bapa supaya berperanan aktif menghalang anak-anak daripada terjebak dengan vape.
Mohammad Fakhruddin turut merakamkan penghargaan kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sentiasa memperjuangkan pengharaman vape di seluruh negara.
“Baginda sering menzahirkan kebimbangan terhadap ancaman vape dalam titah ucapan baginda. Justeru, kerajaan negeri mengambil langkah ini bagi memastikan titah tersebut dilaksanakan di Pahang,” katanya.
Pada Jun lalu, Jabatan Mufti Pahang mengeluarkan fatwa mengharamkan penggunaan vape. Tahun lalu, Al-Sultan Abdullah turut menggesa pengharaman sepenuhnya vape berikutan peningkatan kes penagihan dadah di negeri ini.

