Jumaat, Jun 19, 2026
spot_img
HomeNASIONALDua anggota tentera maut ketika latihan baling grenad

Dua anggota tentera maut ketika latihan baling grenad

GURUN – Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dilaporkan maut selepas terlibat dalam satu insiden ketika menjalani latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun, Kedah, pagi tadi.

TDM dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 10.57 pagi semasa pelaksanaan Latihan Membaling Grenad yang merupakan sebahagian daripada Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia.

Mangsa yang terlibat dikenal pasti sebagai Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

Menurut kenyataan itu, kedua-dua anggota berkenaan mengalami kecederaan akibat letupan yang berlaku semasa latihan dijalankan.

“Mangsa terbabit segera dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan lanjut. Walau bagaimanapun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” menurut kenyataan tersebut.

Jenazah kedua-dua mangsa akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi tujuan bedah siasat.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md. Othman menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan dua anggota berkenaan dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Beliau turut mendoakan agar ahli keluarga kedua-dua anggota yang terkorban diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

Dalam pada itu, beliau mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

TDM turut memberi jaminan bahawa semua aspek keselamatan latihan akan terus diberi perhatian, selain penambahbaikan sewajarnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan.

Kejadian itu merupakan satu kehilangan besar kepada pasukan keselamatan negara yang sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan tanah air.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-spot_img