Isnin, 3 Ogos 2026
spot_img
PelbagaiLesen fizikal wajib ada jika mahu 'drive' ke Thailand

Lesen fizikal wajib ada jika mahu ‘drive’ ke Thailand

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang merancang untuk memandu atau menunggang motosikal di Thailand diingatkan supaya membawa lesen memandu fizikal bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika pemeriksaan pihak berkuasa negara itu.

Peringatan tersebut dikongsikan pengguna TikTok @edlvinvin, menerusi satu video di media sosial yang memaparkan penjelasan seorang anggota polis Thailand mengenai keperluan membawa dokumen asal ketika berada di negara berkenaan.

Menurut anggota polis itu, rakyat Malaysia diwajibkan menunjukkan lesen memandu fizikal sekiranya diminta oleh pihak berkuasa.

“Rakyat Malaysia bila datang ke Thailand wajib guna lesen fizikal kerana undang-undang di Thailand memerlukan kami melihat lesen fizikal,” katanya.

Beliau turut menjelaskan lesen memandu yang telah tamat tempoh juga tidak boleh digunakan di Thailand.

“Kalau lesen sudah tamat tempoh, memang tak boleh digunakan di sini (Thailand),” ujarnya.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial termasuk menyifatkannya sebagai peringatan berguna kepada rakyat Malaysia yang ingin melancong ke luar negara.

Seorang pengguna berkata, maklumat yang dikongsikan itu wajar diberi perhatian oleh rakyat Malaysia kerana setiap negara mempunyai undang-undang yang berbeza.

“Terima kasih atas perkongsian ini. Ia merupakan maklumat penting bagi mereka yang ingin melawat negara luar kerana setiap negara mempunyai undang-undang tersendiri,” katanya.

Di samping itu, sebahagian pengguna juga berharap kerajaan mempertimbangkan semula penggunaan lesen memandu fizikal di Malaysia.

Katanya, penggunaan lesen fizikal lebih praktikal khususnya bagi golongan warga emas yang kurang mahir menggunakan telefon pintar.

@edlvinvin

Lesen fizikal 🇹🇭🇲🇾📌📍

♬ original sound – Edwin Low – Edwin Low

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-