KUALA LUMPUR – Lebih 5,600 kes buli direkodkan di sekolah seluruh negara hanya dalam tempoh lapan bulan tahun ini, sekali gus mencetuskan gesaan supaya ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan lebih aktif dalam menangani gejala berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 5,681 kes salah laku buli dilaporkan dari Januari hingga Ogos 2026, namun angka sebenar berkemungkinan lebih tinggi memandangkan terdapat kejadian yang tidak dilaporkan.
Menurutnya, buli bukan hanya melibatkan kekerasan fizikal, malah boleh berlaku dalam bentuk lisan, bukan lisan serta buli siber yang memerlukan perhatian serius semua pihak.
“Apakah tidak ada perubahan? Ada. Umpamanya tahun ini, memang tahun-tahun sebelumnya, dari segi laporan kes salah laku buli dari Januari sampai Ogos 2026, sebanyak 5,681. Itu yang dilapor. Tentunya lebih besar daripada yang tidak lapor.
“Ini maknanya buli fizikal boleh, lisan, buli bukan lisan, buli siber. Dan kita patut tingkatkan lagi kefahaman masyarakat dan ibu bapa supaya dapat mengekang perkara ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung usaha meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam mesyuarat PIBG supaya mereka lebih memahami isu yang berlaku di sekolah.
Anwar turut menegaskan pendidikan dan penguasaan ilmu perlu bergerak seiring dengan pembentukan akhlak serta adab, khususnya ketika masyarakat berdepan cabaran berkaitan disiplin dan tingkah laku dalam kalangan pelajar.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha membendung buli tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu guru dan pihak sekolah kerana sebahagian kejadian turut berlaku selepas waktu persekolahan.
Justeru, peranan ibu bapa dan PIBG perlu diperkasakan bagi memastikan pemantauan terhadap pelajar tidak terhenti sebaik sahaja mereka meninggalkan kawasan sekolah.
“Apakah peranan PIBG? Peranan ibu bapa selain daripada guru dan sekolah, kerana banyak juga kejadian yang berlaku selepas waktu persekolahan,” katanya.
Kerjasama antara sekolah, keluarga dan masyarakat dilihat penting dalam membentuk persekitaran lebih selamat selain meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai bentuk buli termasuk yang berlaku di ruang digital.
