KUALA LUMPUR – Pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam bukan sahaja menarik perhatian menerusi pengumuman peruntukan dan inisiatif kerajaan, malah penggunaan 14 perkataan yang jarang didengar dalam perbualan harian turut mencuri tumpuan.
Antara perkataan yang diketengahkan ialah waad yang bermaksud janji atau ikrar, manakala lighad membawa maksud hari esok.
Perkataan seyogia pula bermaksud sepatutnya atau sewajarnya, sementara citra nusa merujuk kepada gambaran atau imej tanah air.
Selain itu, beranotasi bermaksud sesuatu yang disertakan catatan atau penjelasan tambahan, manakala menata membawa maksud menyusun atau mengatur secara terancang.
Istilah inayat pula merujuk kepada pertolongan atau kurniaan, lazimnya daripada Tuhan.
Dalam pembentangan itu, perkataan pranata turut digunakan bagi merujuk sistem, peraturan atau institusi yang mengatur kehidupan masyarakat, manakala filasuf bermaksud ahli falsafah.
Sementara itu, Ithaca ialah kota purba di Greece yang dikaitkan dengan kisah Odysseus dalam mitologi Yunani, sekali gus menjadi simbol perjalanan pulang dan makna sebuah destinasi.
Perkataan dasawarsa pula membawa maksud tempoh sepuluh tahun atau satu dekad, manakala khulasah merujuk kepada rumusan atau inti pati sesuatu perkara.
Turut menarik perhatian ialah istilah turath yang bermaksud warisan keilmuan dan pemikiran tradisional, khususnya dalam tradisi Islam.
Perkataan terakhir, zaman mansang, menggambarkan semangat, tuntutan dan amanah zaman yang perlu dipikul demi kepentingan generasi masa depan, termasuk tanggungjawab generasi hari ini dalam memastikan kesejahteraan mereka yang bakal mewarisi negara.
Penggunaan istilah berkenaan bukan sahaja memperkenalkan kosa kata yang kurang lazim digunakan, malah membuka ruang kepada orang ramai untuk menambah pengetahuan bahasa dan memahami maksud di sebalik perkataan yang diketengahkan dalam pembentangan Belanjawan 2027.
Perkataan-perkataan tersebut turut memperlihatkan kepelbagaian khazanah bahasa Melayu yang boleh digunakan untuk menyampaikan pemikiran, nilai dan mesej berkaitan pembangunan negara serta tanggungjawab terhadap masa depan. – kosmo
