BANGKOK – Pernah berada di ambang persaraan selepas berdepan kecederaan serius yang hampir memusnahkan kariernya, jaguh gimnastik artistik negara Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam bangkit mencipta kisah luar biasa apabila menghadiahkan pingat emas acara melombol pada Sukan SEA 2025, kelmarin.
Lebih mengagumkan, Sharul Aimy pernah disifatkan doktor mengalami kecederaan ibarat mangsa kemalangan motosikal, namun ujian berat itu langsung tidak mematahkan semangatnya untuk kembali bersaing di pentas tertinggi.
Sepanjang tempoh pemulihan, atlet berkenaan terpaksa menjalani empat pembedahan, sekali gus melalui fasa sukar yang menguji ketahanan fizikal dan mentalnya.
Sharul Aimy mengakui detik tersebut hampir membuatkan dia mengambil keputusan untuk menamatkan karier lebih awal, namun sokongan keluarga serta keazaman untuk membuktikan kemampuan diri menjadi pendorong utama kebangkitannya.
“Saya sudah empat kali menjalani pembedahan. Pada pembedahan pertama, doktor memaklumkan kecederaan dialami bukan kecederaan sukan biasa, sebaliknya ibarat kecederaan akibat kemalangan motosikal sehingga menyebabkan patah tulang.
“Ketika itu saya hampir berputus asa. Ibu bapa menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada saya sama ada mahu meneruskan karier atau berhenti, tetapi saya memilih untuk bangkit dan kembali berjuang,” katanya.
Pada aksi final yang berlangsung di Universiti Thammasat, Bangkok, Sharul Aimy bermula dengan lompatan pertama yang kurang kemas sebelum memperbaiki kesilapan itu menerusi percubaan kedua yang lebih bertenaga dan kemas, sekali gus menewaskan pencabar lain untuk muncul juara.
Kejayaan tersebut menyaksikan Sharul Aimy menukar pingat gangsa yang diraih pada edisi terdahulu kepada kilauan emas, sekali gus melakar detik paling manis dalam perjalanan kariernya setakat ini.
Selepas kejayaan di Sukan SEA 2025, Sharul Aimy kini mengalihkan fokus kepada sasaran lebih besar dengan memburu podium di Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, serta Sukan Komanwel Glasgow 2026, yang disifatkannya sebagai pentas penting untuk membuktikan kemampuan sebenar di peringkat antarabangsa.

