KUALA LUMPUR – Seorang pempengaruh media sosial, Shaf Naufas, meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa tauhu bergedil daging yang dibelinya tidak mengandungi isi daging seperti diiklankan.
Menerusi satu video yang dimuat naik di platform TikTok, Shaf mempersoalkan kejujuran peniaga apabila mendapati makanan yang dibelinya hanya mengandungi kentang tanpa sebarang isi daging atau sayur.
@hiitshaf0 Nak berniaga . Tapi berniaga la betul2 . Kenapa la nak kejar sangat untung tu . Ye faham berniaga nak untung . Tapi ni melampau sangat . Kalau tak de untung sangat tak payah jual terus . Senang . #shafnaufas ♬ Powerful songs like action movie music – Tansa
“Helo, ini tauhu bergedil ke tauhu dengan kentang sahaja?” soalnya dalam video tersebut sambil menunjukkan tauhu yang telah dibelah dan dikorek untuk membuktikan dakwaannya.
Menurutnya, dia membeli tauhu bergedil daging dengan harga yang setara harga daging, namun kecewa apabila langsung tidak menemui isi seperti dijanjikan.
“Mana dagingnya? Mana sayur-sayur? Udah aku korit-koritkan, kuis-kuiskan, tak ada daging pun,” katanya.
Shaf turut membandingkan situasi itu dengan perniagaannya sendiri sebagai penjual minyak wangi, sambil menegaskan beliau tidak pernah menipu kandungan produk demi keuntungan.
“Tak ada lagi aku letak minyak wangi satu peratus, selebihnya benda lain. Berniaga kena betul-betul,” ujarnya.
Selain isi yang didakwa tiada, beliau juga mengkritik rasa sambal kicap yang menurutnya terlalu manis dan terpaksa menambah cili sendiri untuk mendapatkan rasa pedas.
Dalam masa sama, Shaf memberi amaran kepada peniaga berkenaan supaya menambah baik kualiti produk sebelum beliau mendedahkan lokasi kedai tersebut. Bagaimanapun, beliau menegaskan tegurannya bukan bertujuan menjatuhkan bangsa sendiri, sebaliknya mahu peniaga Melayu berniaga dengan lebih ikhlas dan bertanggungjawab.
“If you want to sell this tauhu bergedil, make it properly,” tegasnya di akhir video.
Video berkenaan tular dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, dengan rata-rata bersetuju bahawa peniaga perlu menitikberatkan kualiti serta kejujuran dalam perniagaan makanan.

