TELUK INTAN – Seorang pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan maut selepas lehernya dipercayai terkena sabit yang dibawa seorang lelaki warga asing ketika menunggang motosikal di Jalan Kampung Batu 4, Selabak di sini, semalam.
Mangsa, Adham Faisal, yang merupakan pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Semester 4 dalam bidang Agroindustri Ternakan Poltri, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian leher.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal bersama seorang rakannya yang berusia 17 tahun.
“Rakan mangsa turut mengalami kecederaan pada bahagian tangan dalam kejadian tersebut.
“Siasatan awal mendapati sabit berhulu panjang yang dibawa seorang lelaki dipercayai terkena leher mangsa ketika motosikal mereka berada berhampiran antara satu sama lain. Akibat itu, mangsa terjatuh daripada motosikal sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Menurut beliau, susulan kejadian tersebut, polis menahan dua lelaki warga asing berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas sebilah sabit serta sebuah motosikal yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan esok bagi tujuan permohonan reman,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh. -MYBERITA

