GEORGE TOWN – Lebih 500 peminat bola sepak tidak melepaskan peluang bertemu bintang bola sepak terkenal dunia, Mesut Ozil dalam sesi ‘Meet and Greet with Fan Club’ yang berlangsung di Pusat Sukan dan Rekreasi, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Kehadiran bekas pemain Arsenal FC dan Real Madrid CF itu disambut meriah dengan sorakan gemuruh peminat yang sanggup menunggu dalam cuaca panas semata-mata untuk melihat idola mereka dari dekat.
Program yang berlangsung hampir 30 minit itu dimulakan dengan sesi santai bersama pengulas sukan terkenal, Zainal Abidin Rawop, yang mengupas pelbagai aspek termasuk perjalanan karier Ozil, pengalaman beliau di Malaysia serta perancangan masa depan.
Berkongsi pengalamannya di Malaysia, Ozil berkata beliau amat menikmati kunjungan tersebut, khususnya ketika berada di Pulau Pinang.
“Saya suka makanan di sini, terutama hidangan berkuah dan pedas. Di Pulau Pinang, banyak makanan dengan rempah yang kaya. Saya pasti mahu mencuba lebih banyak kerana saya memang gemar makanan pedas,” katanya.
Mengimbas kariernya sebagai pemain tengah kreatif yang terkenal dengan bantuan gol (assist), Ozil menegaskan bahawa kepuasan utamanya di atas padang adalah membantu rakan sepasukan mencipta kejayaan.
Beliau turut berkongsi hasrat untuk membuka akademi bola sepak di Istanbul, Turkiye bagi membantu pembangunan bakat muda di negara asalnya.
“Insya-Allah, saya akan membuka akademi di Istanbul. Fokus saya kini adalah membantu golongan muda. Saya tidak lagi mahu berada dalam arena profesional kerana ia memerlukan perjalanan yang terlalu kerap,” katanya.
Dalam sesi tersebut, seramai 50 peminat bertuah turut berpeluang mendapatkan tandatangan eksklusif daripada bintang berkenaan.
Turut hadir memeriahkan program ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim serta Naib Canselor USM, Abdul Rahman Mohamed.
Selepas sesi ‘Meet and Greet’, bekas pemain antarabangsa Jerman berketurunan Turkiye itu meneruskan program dengan menyertai klinik bola sepak bersama murid sekolah rendah sekitar Pulau Pinang.
Ozil berada di Malaysia sejak Ahad lalu bagi menghadiri beberapa program di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sempena Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Malaysia–Turkiye berkaitan pendidikan tinggi. Beliau dijadualkan menghadiri Klinik Bola Sepak Mesut Ozil di Perak, esok.

