KUALA LUMPUR – Insiden sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang merempuh masuk ke dalam kawasan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) mencetuskan perhatian ramai apabila gambar dan rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Kejadian tersebut turut mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk gurauan yang menyifatkan lapangan terbang itu kini menyediakan perkhidmatan “check-in pandu lalu”.
Menerusi beberapa perkongsian di Threads, kelihatan sebuah SUV berwarna putih berada di dalam kawasan terminal dengan bahagian hadapan kenderaan mengalami kerosakan.
Turut kelihatan serpihan kaca bertaburan di atas kenderaan dan lantai terminal, dipercayai akibat rempuhan terhadap struktur kaca bangunan.
Seorang pengguna Threads, @Madzlan_spunky, secara berseloroh menyifatkan kejadian itu seperti kemudahan baharu untuk penumpang mendaftar masuk tanpa perlu keluar dari kenderaan.
“Wah, lapangan terbang sekarang sudah ada perkhidmatan ‘check-in pandu lalu’ ke?,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, @Syeilagummy, berkata dia pada mulanya menyangka kenderaan tersebut merupakan sebahagian daripada pameran sebelum mengetahui ia sebenarnya terbabit dalam kemalangan.
“Saya ingatkan ada pameran kereta. Rupanya sebuah kereta terlibat kemalangan sehingga masuk ke kawasan pelepasan KKIA,” katanya.
Sementara itu, pengguna @Manisha02_manickam turut bergurau mengenai kedudukan SUV berkenaan yang berada jauh di dalam bangunan terminal.
“Alamak, salah tempat letak kereta, bang,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Xfxhxmmxxhhh, pula berpendapat keadaan mungkin menjadi lebih buruk sekiranya insiden sama berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Mujur kejadian berlaku di KKIA. Bayangkan kalau berlaku di KLIA dan kereta itu sampai ke kawasan Formula Satu, memang banyak duit melayang,” katanya.
Dalam pada itu, pengguna @Ck_mude_aen berkongsi pengalaman hampir sama apabila pernah tersilap menekan pedal minyak ketika mahu memasukkan gear.
Menurutnya, dia bernasib baik kerana kejadian itu tidak mengakibatkan kenderaannya memasuki kawasan pemeriksaan bagasi.
Setakat ini, punca sebenar kejadian serta maklumat lanjut mengenai insiden tersebut masih belum diumumkan oleh pihak berkuasa. Insiden itu bagaimanapun terus menjadi perhatian warga maya dengan pelbagai reaksi dan komen yang mencuit hati.

