ALOR SETAR – Hasrat penumpang untuk mengejar tren awal pagi bertukar kelam-kabut apabila pintu masuk Stesen KTM Anak Bukit di sini masih berkunci sehingga ada yang sanggup memanjat pagar bagi memasuki kawasan stesen, pagi tadi.
Insiden itu menyebabkan seramai 25 penumpang terjejas dan tidak dapat menaiki dua perkhidmatan KTM Komuter, masing-masing Tren 2901 pada pukul 5.58 pagi dan Tren 2903 pada pukul 6.18 pagi.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan, berdasarkan siasatan awal, Stesen Anak Bukit sepatutnya mula beroperasi pada pukul 5.30 pagi, namun kakitangan yang dijadualkan membuka stesen gagal melaporkan diri pada waktu ditetapkan atas faktor kesihatan.
Menurut KTMB, pihaknya menerima makluman kira-kira pukul 5.55 pagi bahawa pintu masuk stesen masih belum dibuka sebelum pegawai bertugas cuba menghubungi kakitangan terbabit, namun tidak berjaya.
“Setelah dimaklumkan, kira-kira pukul 5.55 pagi pintu masuk stesen masih belum dibuka, pegawai bertugas cuba menghubungi kakitangan berkenaan, namun tidak berjaya.
“Tindakan segera kemudiannya diambil dengan mengarahkan seorang kerani kaunter dari stesen berhampiran yang dijadualkan bertugas pada pukul 7 pagi untuk hadir lebih awal ke Stesen Anak Bukit,” menurut kenyataan itu.
Kakitangan gantian berkenaan tiba kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum pintu masuk utama stesen dibuka.
KTMB turut memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas dan menegaskan kejadian itu dipandang serius kerana akses ke stesen perlu tersedia mengikut waktu operasi, khususnya untuk pengguna perkhidmatan awal pagi.
“Siasatan lanjut sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kejadian dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Terdahulu, rakaman video yang tular di media sosial memaparkan beberapa penumpang memanjat pagar Stesen Anak Bukit bagi memasuki kawasan stesen kerana bimbang terlepas tren untuk ke tempat kerja dan menyelesaikan urusan masing-masing.
KTMB berkata pihaknya kekal komited memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan kepentingan penumpang sentiasa menjadi keutamaan. – KTMB
