Sabtu | 26/09/2026 | 10:50:21 pm
HomeSemasaPelajar tingkatan dua maut, senior tingkatan empat 'hukum' mangsa direman

Pelajar tingkatan dua maut, senior tingkatan empat ‘hukum’ mangsa direman

KUALA LUMPUR – Polis memaklumkan hasil siasatan awal berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba di Kuala Pilah dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang didakwa melanggar peraturan sekolah.

Susulan itu, seorang pelajar tingkatan empat dipercayai menegur dan ‘menghukum’ mangsa berikutan kesalahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, suspek kini direman selama enam hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Majistret Seremban.

“Setakat ini, hanya seorang individu, iaitu pelajar tingkatan empat berkenaan, ditahan untuk membantu siasatan kes itu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Idlan Fareeq Shahril ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sekolah sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Seremban dan kemudian disahkan meninggal dunia.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mangsa yang berasal dari Gemencheh, Negeri Sembilan itu merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

Ibu saudara mangsa, Nur Hijrah menerusi hantaran di Threads sebelum ini memaklumkan mengenai kejadian berkenaan selepas menerima panggilan daripada adiknya yang memberitahu anaknya meninggal dunia selepas dipukul di asrama sekolah.

Dalam hantaran susulan, Nur Hijrah memaklumkan jenazah mangsa berada di Hospital Kuala Pilah sebelum dibawa ke Hospital Seremban untuk proses bedah siasat. – awani

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Sabtu, 26 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|