Sabtu | 26/09/2026 | 10:45:07 pm
HomeSemasa21 individu dipanggil rekod keterangan, Polis masih siasat punca kematian pelajar SMK...

21 individu dipanggil rekod keterangan, Polis masih siasat punca kematian pelajar SMK Za’ba

KUALA LUMPUR – Polis telah merekodkan keterangan 21 individu termasuk pelajar, guru dan ibu bapa bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, setakat ini punca kematian Muhammad Idlan Fareeq Shahril masih belum dapat ditentukan dan pihaknya masih menunggu keputusan ujian lanjutan.

“Punca kematian belum dapat ditentukan pada masa ini, dan masih menunggu keputusan ujian lanjutan,” katanya kepada media.

Sebelum ini, polis memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam, Jumaat, di sebuah asrama sekolah menengah di daerah Kuala Pilah selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian yang mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah sebelum disahkan meninggal dunia.

Susulan kejadian itu, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang juga pelajar Tingkatan Empat ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Alzafny berkata, siasatan masih dijalankan bagi meneliti semua fakta dan bukti untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Dalam perkembangan sama, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Abd Malek Abd Ghani meminta semua pihak memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara menyeluruh serta tidak membuat sebarang spekulasi.

Beliau berkata, pelbagai maklumat berkaitan kejadian kini tersebar di media sosial, namun kesahihannya masih belum dapat dipastikan.

“Saya minta orang ramai bersabar kerana siasatan sudah bermula dan kita semua perlu berhati-hati dengan hantaran di media sosial,” katanya.

Abd Malek berkata, SMK Za’ba merupakan Sekolah Sukan Negeri (SSN) yang mempunyai kira-kira 315 pelajar dan terlibat dalam beberapa acara sukan termasuk bola sepak, hoki, sepak takraw, olahraga, bola jaring serta memanah.

Menurutnya, Muhammad Idlan Fareeq merupakan atlet muda sekolah dalam acara memanah.

Beliau turut memaklumkan bahawa setakat tahun ini, tiada kes buli dilaporkan berlaku di asrama sekolah berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini menzahirkan kesedihan berhubung kematian pelajar berkenaan dan menggesa siasatan dijalankan dengan segera serta telus.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta privasi keluarga pelajar terbabit. – AWANI

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Sabtu, 26 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|