Rabu | 30/09/2026 | 7:43:35 pm
HomePendidikanMercun dibawa ke sekolah, murid tahun enam melecur

Mercun dibawa ke sekolah, murid tahun enam melecur

MUAR – Tindakan seorang murid tahun enam membawa mercun ke sekolah berakhir dengan kecederaan selepas bahan letupan itu dipercayai meletup di dalam kawasan sebuah sekolah rendah di daerah ini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu turut mencetuskan suasana panik dalam kalangan warga sekolah apabila murid lelaki berusia 12 tahun berkenaan mengalami kecederaan melecur pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum murid terbabit dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk mendapatkan rawatan.

“Pemeriksaan mendapati murid berkenaan mengalami kecederaan melecur pada beberapa bahagian badan dan telah diberikan rawatan.

“Penilaian awal oleh pihak psikiatri turut dijalankan sebelum dia dibenarkan meneruskan rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar turut dihantar ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan keselamatan.

Katanya, pemeriksaan forensik pula dilakukan Unit Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bagi membantu siasatan kejadian.

“Setakat ini, enam saksi telah tampil memberikan keterangan dan polis masih mengesan saksi lain yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian,” katanya.

Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang menyebabkan mercun berkenaan meletup di kawasan sekolah. – KOSMO!

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Rabu, 30 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|