PULAU PINANG – Penduduk sekitar Tanjung Bungah, Batu Feringgi dan Teluk Bahang dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya mendengar bunyi siren amaran tsunami esok berikutan pengujian Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Pengujian itu akan dilaksanakan di tiga lokasi berasingan mengikut jadual yang ditetapkan bagi memastikan sistem amaran berkenaan berfungsi dengan baik.
MET Malaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, pengujian pertama akan berlangsung di Masjid Terapung, Tanjung Bungah dari pukul 9 pagi hingga 10.30 pagi.
Ia kemudian diteruskan di Masjid Ar-Rahman, Batu Feringgi dari pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari, sebelum berakhir di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Teluk Bahang dari pukul 1 petang hingga 3 petang.
“Penduduk di kawasan sekitar dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya mendengar bunyi siren berkenaan kerana ia hanya sebahagian daripada pengujian sistem amaran tersebut,” menurut kenyataan itu.
MET Malaysia turut memaklumkan sebarang perubahan jadual pengujian akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Orang ramai, khususnya penduduk di sekitar ketiga-tiga lokasi berkenaan, disaran mengambil maklum mengenai jadual tersebut bagi mengelakkan kekeliruan sekiranya siren dibunyikan sepanjang tempoh pengujian. – Berita RTM
