KUALA LUMPUR – Wang negara berjumlah berbilion ringgit yang hilang akibat skandal penyelewengan sepatutnya digunakan untuk meningkatkan kemudahan sekolah, universiti dan kebajikan pelajar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelewengan dana awam bukan sahaja merugikan negara, malah menjejaskan peluang generasi muda untuk menikmati pendidikan serta kemudahan yang lebih baik.
Beliau berkata, sejarah negara memperlihatkan bagaimana tindakan pemimpin yang menyalahgunakan kuasa menyebabkan kerugian besar, sedangkan dana berkenaan boleh dimanfaatkan untuk pembangunan pendidikan.
“Lihat pelbagai skandal, berbilion ringgit hilang, berbilion ringgit hilang!
“Dan wang itu sepatutnya dibelanjakan untuk pelajar, sekolah dan universiti kita, bukannya dicuri oleh golongan yang rasuah,” katanya ketika berucap merasmikan iFUTURE 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.
Anwar berkata, kerajaan terus memberikan keutamaan kepada sektor pendidikan dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan generasi muda mendapat peluang serta kemudahan pembelajaran yang lebih baik.
Menurutnya, pendidikan merupakan keutamaan tertinggi dalam peruntukan belanjawan negara, diikuti sektor kesihatan dan kementerian lain.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa peruntukan besar semata-mata tidak mencukupi sekiranya pengurusan kewangan negara masih dibelenggu ketirisan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Sehubungan itu, kerajaan akan memperkukuh ketelusan dalam pemberian kontrak awam mulai tahun depan dengan membolehkan rakyat mengetahui syarikat yang menerima projek, nilai kontrak, kos pembinaan serta perkembangan pelaksanaannya.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap perbelanjaan kerajaan dapat dipantau dan wang rakyat digunakan secara bertanggungjawab.
Dalam masa sama, Anwar menyeru mahasiswa supaya tidak berdiam diri terhadap amalan rasuah dan ketidakadilan, sebaliknya tampil sebagai generasi yang berani mempertahankan integriti negara.
Katanya, usaha membangunkan negara tidak akan berjaya sekiranya masyarakat terus membiarkan penyelewengan dan salah guna kuasa berlaku tanpa sebarang teguran. – MYBERITA
