SEPANG – Hasrat sejumlah jemaah umrah untuk berangkat ke Tanah Suci berdepan ketidakpastian apabila dua penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Jeddah dan Madinah, Arab Saudi, tertera status dibatalkan hari ini.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penumpang, khususnya jemaah umrah, susulan laporan serangan terhadap kemudahan penerbangan di Riyadh ketika ketegangan keselamatan di rantau berkenaan semakin meningkat.
Berdasarkan gambar papan maklumat penerbangan KLIA yang dikongsikan di media sosial, penerbangan MH0156 ke Jeddah yang dijadualkan berlepas pada pukul 3.05 petang dan MH0158 ke Madinah pada pukul 5.10 petang masing-masing memaparkan status ‘dibatalkan’.
Semakan pada platform penjejakan penerbangan yang dilaporkan turut menunjukkan gangguan jadual bagi penerbangan MH158, manakala tiada pergerakan pesawat direkodkan bagi MH156 setakat semakan berkenaan dibuat.
Situasi itu mendapat perhatian pengguna media sosial selepas seorang individu memuat naik gambar papan maklumat penerbangan berkenaan di Threads sambil menitipkan doa buat jemaah yang terjejas.
“Penerbangan MH ke Jeddah hari ini batal. Semoga dipermudah urusan jemaah umrah,” katanya.
Seorang lagi pengguna turut mendakwa penerbangannya ke Jeddah yang dijadualkan pada keesokan hari dibatalkan, sekali gus menjejaskan perancangan perjalanan ke Tanah Suci.
“Ujian buat kami. Kami ikutkan penerbangan esok ke Jeddah tapi dibatalkan. Doa semoga urusan kami dipermudahkan,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa pengguna media sosial turut meluahkan kebimbangan mengenai status penerbangan syarikat lain ke Arab Saudi, termasuk Saudia dan Gulf Air.
Seorang pengguna yang mendakwa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah, turut berkongsi situasi gangguan operasi penerbangan di lapangan terbang berkenaan.
Pengguna itu turut memuat naik tangkap layar menunjukkan penerbangan Qatar Airways dari Jeddah ke Doha yang dijadualkan berlepas pada pukul 11.35 malam sebelumnya tertera dibatalkan.
Perkembangan berkenaan berlaku ketika laporan mengenai serangan terhadap kemudahan strategik di Arab Saudi menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan perjalanan udara di rantau itu.
Bagaimanapun, setakat maklumat yang tersedia, belum dapat dipastikan sama ada pembatalan dua penerbangan Malaysia Airlines berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan perkembangan keselamatan tersebut.
Malaysia Airlines sebelum ini pernah menggantung sementara penerbangan ke Jeddah dan Madinah pada Mac lalu susulan penutupan ruang udara di beberapa kawasan Asia Barat.
Penumpang yang terjejas disarankan menyemak status penerbangan secara terus dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai penjadualan semula atau aturan perjalanan alternatif.
Menurut laporan antarabangsa, serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Riyadh pada Sabtu lalu mengorbankan 13 individu dan mencederakan lebih 300 yang lain.
Lapangan terbang sama sekali lagi menjadi sasaran serangan pada Ahad, mengakibatkan seorang maut dan 11 cedera, menurut pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi.
Kumpulan Houthi dari Yemen turut memberi amaran mengenai kemungkinan serangan lanjut terhadap lapangan terbang di Arab Saudi, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan awam. – MYBERITA
