KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 meningkat sebanyak tiga sen seliter kepada RM3.21 mulai 17 hingga 23 Julai ini, berbanding RM3.18 seliter sebelum ini.
Bagaimanapun, harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter, manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan juga tidak berubah pada kadar RM2.15 seliter.
Bagi Semenanjung Malaysia, harga runcit diesel naik tiga sen seliter daripada RM2.88 kepada RM2.91 seliter dalam tempoh sama.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, penetapan harga mingguan produk petroleum itu dibuat berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit petrol RON97 dan diesel mengikut pergerakan harga pasaran minyak, selaras usaha mengekalkan kestabilan harga,” jelas kenyataan itu.
MOF turut menegaskan kerajaan sentiasa peka terhadap perubahan harga minyak mentah dunia dan akan mengambil langkah bersesuaian demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

