Jumaat, Jun 19, 2026
spot_img
HomeHIBURAN'Konsert Ella Homecoming' tukar lokasi ke SPICE Arena, dijadual 22 Ogos

‘Konsert Ella Homecoming’ tukar lokasi ke SPICE Arena, dijadual 22 Ogos

KUALA LUMPUR – Penganjur konsert Hitman Solutions bersama Rockqueen mengumumkan penukaran tarikh serta lokasi baharu bagi Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella Homecoming yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 25 Julai di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Konsert tersebut kini akan diadakan pada 22 Ogos 2026 bertempat di SPICE Arena, Pulau Pinang, lokasi yang sama pernah menjadi pentas Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota sebelum ini.

Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh bersama pasukan produksi dan artis bagi memastikan pengalaman konsert yang lebih selesa kepada penonton.

“Pemilihan SPICE Arena adalah langkah terbaik untuk memperkukuhkan pengalaman penonton menerusi susun atur yang lebih dekat dengan pentas, sistem akustik yang lebih terkawal serta suasana persembahan yang lebih selesa.

“Selain itu, lokasi tertutup ini turut menawarkan perlindungan daripada sebarang ancaman cuaca tidak menentu seperti hujan atau ribut, di samping menyediakan kemudahan akses pengangkutan dan logistik yang lebih mesra pengunjung,” katanya pada sidang media khas Santai Bersama Ella di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, keputusan menukar lokasi turut dipengaruhi maklum balas serta permintaan peminat yang mahukan pengalaman sama seperti konsert terdahulu di Pulau Pinang.

Beliau berkata, walaupun penganjur pada awalnya mahu mengekalkan tarikh asal, kekangan jadual di SPICE Arena menyebabkan konsert terpaksa dianjak ke 22 Ogos 2026.

Sementara itu, penyanyi rock legenda, Ella, berkata beliau menerima perubahan tersebut dengan hati terbuka dan mengutamakan keselesaan serta kehendak peminat.

“Perubahan ini sebenarnya atas permintaan ramai juga. Mereka suka ‘vibes’ konsert Ella di Pulau Pinang dulu. Faktor cuaca pun turut memainkan peranan,” katanya.

Ella turut mengumumkan Datuk Ramli Sarip dan Ziana Zain sebagai artis jemputan pada konsert berkenaan, selain meluahkan rasa teruja untuk berkongsi pentas bersama kedua-dua nama besar itu.

“Saya memang peminat Ziana dan kami juga berkawan baik. Selalunya saya berduet dengan penyanyi lelaki, kali ini dengan ‘girlfriend’ pula,” selorohnya.

Setakat ini, kira-kira 70 peratus tiket telah terjual dan semua pembeli akan menerima emel berhubung perubahan tarikh serta lokasi hari ini, selain diberi tempoh tujuh hari sekiranya ingin mendapatkan pemulangan wang.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-spot_img