Selasa, 7 Julai 2026
spot_img
Piala Dunia 2026Ronaldo sahkan Piala Dunia 2026 pentas terakhir bersama Portugal

Ronaldo sahkan Piala Dunia 2026 pentas terakhir bersama Portugal

DALLAS – Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo akhirnya mengesahkan Piala Dunia 2026 merupakan penampilan terakhirnya di pentas bola sepak paling berprestij dunia, sekali gus menutup spekulasi mengenai masa depan karier antarabangsanya.

Pemain berusia 41 tahun itu membuat pengumuman tersebut pada penghujung sidang media menjelang aksi suku akhir, sambil menyifatkan beliau bersedia menamatkan perjalanan di Piala Dunia dengan hati yang tenang tanpa mengira keputusan yang bakal diraih Portugal.

“Biarlah ini menjadi Piala Dunia terakhir saya. Ya, ini adalah Piala Dunia terakhir saya,” katanya.

Pengumuman itu menandakan berakhirnya perjalanan luar biasa Ronaldo yang mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama membuat enam penampilan di Piala Dunia sepanjang kariernya.

Sebelum ini, bekas penyerang Real Madrid itu enggan mengesahkan sama ada edisi 2026 bakal menjadi penampilan terakhirnya memandangkan Piala Dunia seterusnya hanya akan berlangsung pada 2030 ketika usianya mencecah 45 tahun.

Bagaimanapun, Ronaldo menjelaskan keputusan untuk bersara sepenuhnya daripada bola sepak profesional masih belum ditentukan kerana ia bergantung kepada kesediaan dirinya sendiri.

“Saya akan menamatkan karier apabila jiwa saya sendiri membuat keputusan. Anda semua sentiasa bertanya soalan yang sama, adakah ini yang terakhir?

“Kita lihat nanti. Saya tidak mahu memberikan tumpuan kepada perkara itu. Tidak kira apa yang berlaku selepas ini, saya hanya akan meninggalkan pentas ini dengan hati yang benar-benar tenang.

“Apa yang pasti, saya telah memberikan segala yang saya mampu kepada bola sepak. Saya bermain selama ini kerana minat, bukannya kerana keperluan.

“Syukur, kehidupan saya sudah cukup baik, tetapi saya terus bermain kerana saya cintakan bola sepak dan saya amat bangga mewakili skuad kebangsaan,” katanya.

Sepanjang mewakili Portugal, Ronaldo bukan sahaja muncul sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah negaranya, malah membantu pasukan itu menjulang beberapa kejuaraan utama termasuk Kejohanan Eropah 2016 dan Liga Negara-Negara UEFA.

Walaupun tirai kariernya bersama Portugal bakal dilabuhkan selepas kempen Piala Dunia 2026, legenda itu menegaskan cintanya terhadap bola sepak masih belum pudar dan keputusan untuk menggantung but hanya akan dibuat apabila tiba masanya.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-