KOTA TINGGI – UMNO terbuka menerima cadangan Pas menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun keputusan itu perlu mengambil kira beberapa perkara asas dan tapisan terlebih dahulu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keterbukaan berkenaan tidak bermakna semua parti politik boleh menggunakan logo BN kerana setiap permohonan perlu dinilai berdasarkan keputusan dan persetujuan yang ditetapkan.
“Katakanlah mana-mana pihak bersedia untuk bertanding menggunakan logo BN, sangat-sangat kita alu-alukan. Tetapi haruslah bersandarkan kepada keputusan-keputusan pokok,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi, di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, UMNO bersedia mengadakan perbincangan dengan Pas sekiranya penggunaan logo BN menjadi sebahagian daripada formula kerjasama kedua-dua parti bagi menghadapi PRN Melaka.
“Jika itu yang Pas kehendak, kita bersedia untuk berbincang. Tetapi buat waktu ini masih belum ada sebarang pertemuan, Pas cakap dekat ‘press’, jadi saya pun cakap balik kepada ‘press’ juga,” katanya.
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata rundingan pembahagian kerusi antara Pas dan UMNO bagi PRN Melaka sudah mencapai 90 peratus, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama kedua-dua parti.
Menurut beliau, Pas juga bersedia menggunakan logo BN sekiranya langkah itu dapat membawa kepada kata putus berhubung kerjasama berkenaan.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada keterbukaan menggunakan logo BN turut melibatkan parti lain daripada PN seperti Parti Wawasan Negara, Mohamed Khaled tidak memberikan pengesahan.
“Siapa nak datang rumah kita, orang yang kita sukalah. Bukan semua orang,” katanya. – Utusan Malaysia
