GURUN – Tindakan seorang lelaki mengintip sebuah rumah selama kira-kira dua minggu sebelum menyamun penghuninya terbongkar selepas dia ditahan polis, awal pagi tadi.
Suspek berusia 41 tahun itu dipercayai mengambil kesempatan selepas melihat suami mangsa keluar dari rumah di Taman Seri Jerai 2, di sini, sebelum bertindak menyamun seorang wanita warga emas berusia 67 tahun, kira-kira pukul 9.20 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, mangsa berada seorang diri di rumah sebelum suspek masuk tanpa kebenaran.
Menurutnya, suspek kemudian mengugut mangsa menggunakan objek menyerupai pistol sebelum melarikan barang kemas yang dipakai wanita berkenaan.
“Selepas melakukan perbuatan tersebut, suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta berwarna merah yang masih belum dikenal pasti jenisnya.
“Akibat kejadian, pengadu mengalami lebam pada kedua-dua pergelangan tangan sebelum hadir ke Balai Polis Gurun untuk membuat laporan,” katanya.
Hanyan berkata, jumlah kerugian mangsa dianggarkan kira-kira RM23,000.
Beliau berkata, susulan laporan diterima, sepasukan polis menahan suspek kira-kira pukul 11.15 malam tadi di sebuah rumah di Taman Permai Utama.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak seorang diri ketika melakukan samun berkenaan.
“Hasil siasatan membongkar intipan dilakukan suspek terhadap rumah pengadu selama lebih kurang dua minggu sebelum kejadian,” katanya.
Menurutnya, siasatan turut mendapati suspek bertindak selepas melihat suami mangsa keluar dari kediaman tersebut pada hari kejadian.
Semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
