SHAH ALAM – Pertemuan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama tiga tokoh yang pernah dan sedang menerajui pentadbiran negeri menjadi kesempatan buat baginda mengingatkan pemimpin politik supaya mengetepikan perselisihan demi kepentingan rakyat.
Baginda bertitah, perbezaan pendirian politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama, sebaliknya pemimpin perlu memastikan pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat dan kebajikan golongan memerlukan terus diberi keutamaan.
“Perbezaan pendirian dan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kepentingan negeri dan rakyat.
“Tanggungjawab kepimpinan hendaklah dilaksanakan dengan penuh amanah, dengan mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi mahupun kelompok politik,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Baginda turut menitahkan supaya pemimpin politik tidak bergaduh, bertelagah atau berebut kuasa sehingga menyebabkan perpecahan dalam kalangan mereka.
Menurut Sultan Sharafuddin, kemajuan Selangor perlu bergerak seiring dengan keharmonian masyarakat serta kestabilan pentadbiran negeri.
“Justeru, para pemimpin hendaklah memelihara sikap saling menghormati serta mengutamakan perbincangan yang membina dalam menangani sebarang perbezaan,” titah baginda.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.
Baginda kemudian menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 15,000 jemaah yang hadir.
Pada majlis berkenaan, Sultan Sharafuddin turut berkesempatan bertemu dan bersantap bersama bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, selain Menteri Besar Selangor ketika ini, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pertemuan itu menghimpunkan tiga tokoh yang pernah dan sedang memegang tanggungjawab menerajui pentadbiran Selangor, selain memperlihatkan hubungan antara institusi diraja dengan kepimpinan negeri.
– KOSMO!
