PUTRAJAYA – Orang ramai tidak lagi boleh menggunakan saluran Kumpulan MYEG bagi mendapatkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai Isnin ini susulan penggantungan My E.G. Sdn. Bhd. dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut.
Penggantungan yang berkuat kuasa 5 Oktober itu dibuat selepas JPJ mengambil kira aspek pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian, termasuk obligasi syarikat yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly berkata, keputusan berkenaan menyebabkan semua perkhidmatan agensi itu yang sebelum ini ditawarkan menerusi saluran Kumpulan MYEG digantung mulai tarikh tersebut.
“Selaras dengan keputusan ini, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG akan digantung mulai 5 Oktober.
“JPJ memberi jaminan bahawa urusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa melalui saluran rasmi dan alternatif yang disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, pengguna yang telah membuat tempahan Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01) menerusi MYEG sebelum tarikh kuat kuasa masih dibenarkan meneruskan tempahan berkenaan seperti biasa.
Bagi tempahan baharu mulai 5 Oktober pula, orang ramai perlu membuat urusan tempahan dan menduduki ujian menerusi Pusat Ujian KPP yang disediakan di Institut Memandu di seluruh negara.
Dalam pada itu, pembayaran saman bagi bukan warga Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura akan terus dipermudahkan menerusi Unit Mobile JPJ.
Kemudahan berkenaan akan ditempatkan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor dengan waktu operasi antara pukul 8 pagi hingga 10 malam.
JPJ turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan saluran rasmi yang disediakan bagi memastikan setiap urus niaga dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat.
“JPJ kekal komited untuk memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta memastikan setiap urusan dilaksanakan secara teratur, telus dan berintegriti,” katanya. – MYBERITA
