Jumaat | 02/10/2026 | 3:55:12 pm
HomeJenayahMCMC teliti kandungan AI eksploitasi detik duka Tun M

MCMC teliti kandungan AI eksploitasi detik duka Tun M

CYBERJAYA – Detik penuh emosi Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika melalui kehilangan isterinya, Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dipercayai dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebelum kandungan berkenaan tersebar di media sosial.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini meneliti kandungan tersebut selain sudah menghubungi platform media sosial berkaitan berhubung penyebarannya.

MCMC menegaskan penggunaan teknologi bagi mengubah rakaman sebenar sehingga boleh mengelirukan masyarakat, memesongkan konteks sesuatu peristiwa atau menjejaskan maruah individu serta keluarga merupakan perkara serius, lebih-lebih lagi apabila membabitkan detik kehilangan dan kedukaan seseorang.

“MCMC telah berhubung dengan platform media sosial berkaitan dan sedang meneliti kandungan tersebut.

“Sekiranya hasil penelitian mendapati adanya pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tindakan MCMC itu menyusuli penyebaran kandungan dipercayai menggunakan AI untuk memanipulasi rakaman bekas Perdana Menteri berkenaan ketika beliau masih melalui tempoh berkabung selepas pemergian Allahyarhamah Siti Hasmah.

Allahyarhamah Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 28 September lalu pada usia 100 tahun.

Dr. Mahathir semalam turut menziarahi pusara isterinya di Pusara Negara, Putrajaya dan dilihat tidak dapat menahan sebak ketika berada di sisi pusara Allahyarhamah.

Dalam pada itu, MCMC mengingatkan pengguna media sosial supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan yang telah dimanipulasi sehingga berpotensi mengelirukan orang ramai atau menjejaskan pihak lain.

Orang ramai turut disaran menyemak kesahihan sesuatu kandungan terlebih dahulu sebelum berkongsi serta melaporkan bahan yang disyaki telah dimanipulasi kepada platform media sosial atau pihak berkuasa berkaitan.

MCMC berkata, perkembangan pesat AI sememangnya menawarkan pelbagai manfaat kepada masyarakat, namun teknologi itu perlu digunakan secara bertanggungjawab.

“Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan,” katanya. – MYBERITA

Wartawan MYBERITA
Wartawan MYBERITAhttps://portalmyberita.com/
Wartawan MYBERITA membawakan laporan berita semasa, nasional dan perkembangan terkini dari seluruh Malaysia dengan penyampaian yang pantas, tepat dan mudah difahami.
RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Jumaat, 2 Oktober 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|