SEPANG – Cadangan Malaysia dan Singapura menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) secara bergilir setiap dua tahun dilihat sukar direalisasikan, terutama kerana kedua-dua negara mempunyai jadual dan konsep penganjuran yang berbeza.
Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, Singapura dijangka tidak akan melepaskan peluang untuk terus menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij itu, sekali gus menjadikan idea penganjuran secara berselang-seli kurang praktikal.
Menurut beliau, Malaysia juga perlu mengambil kira tempoh kontrak penganjuran F1 yang lazimnya dibuat untuk beberapa tahun dan bukan secara jangka pendek.
“Saya rasa Singapura tidak akan melepaskan peluang untuk menganjurkan Formula Satu, jadi nak buat secara berselang-seli dengan Malaysia, bagi saya tidak mungkin berlaku. Sebelum ini pun kita tidak pernah bergilir-gilir.
“Suasana juga berbeza kerana mereka perlumbaan malam, manakala kita petang. Jika peminat Formula Satu boleh datang ke sini, mereka juga boleh pergi ke Singapura,” katanya ketika ditemui di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan F1 secara dwitahunan, termasuk cadangan untuk berkongsi penganjuran dengan Singapura.
Mokhzani yang juga bekas Pengerusi SIC berkata, penganjuran F1 biasanya memerlukan komitmen jangka panjang melalui kontrak selama lima tahun, yang lazimnya disusun dalam format 3+2.
Katanya, tempoh berkenaan penting bagi membolehkan negara penganjur membuat perancangan serta persiapan yang lebih teratur.
“Situasi kita kali ini unik kerana keadaan di Asia Barat tidak mengizinkan perlumbaan Formula Satu diadakan, jadi kita dapat peluang itu.
“Kita tidak mahu ia kekal begitu kerana itu menunjukkan situasi di tempat lain tidak selamat,” katanya.
Malaysia sebelum ini bersetuju menjadi lokasi penganjuran Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Sepang susulan ketegangan politik yang berlaku di rantau Asia Barat.
Bagaimanapun, Mokhzani berharap peluang tersebut bukan sekadar menjadikan Malaysia sebagai pengganti kepada perlumbaan di negara lain, sebaliknya membuka ruang untuk Malaysia kembali menganjurkan F1 secara tetap.
“Kebiasaannya, kontrak menganjurkan Formula Satu adalah secara 3+2, iaitu lima tahun supaya senang untuk kita buat perancangan.
“Bagi saya, SIC sentiasa bersedia untuk menganjurkan perlumbaan,” ujarnya.
– KOSMO!
