SHAH ALAM – Pelawak dan pengacara Jihan Muse tampil memohon maaf kepada penyanyi Azmi Saat serta penonton selepas gurauannya ketika siaran langsung pentas akhir Kilauan Emas Selebriti 2026 mengundang kritikan kerana didakwa menyentuh keadaan fizikal vokalis Caliph Buskers itu.
Jihan atau nama sebenarnya Nur Jihan Musa, 43, mengakui suasana santai dan keterujaan ketika berinteraksi secara langsung menyebabkan ada kata-kata yang terlepas tanpa disengajakan.
Menurutnya, sebagai manusia biasa, dia tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan dan menerima teguran berhubung perkara berkenaan.
“Kalau didengari salah, saya patut minta maaf. Bila terlalu kasual kadang-kadang ada gurauan terlepas yang tak sepatutnya keluar di mikrofon.
“Saya manusia biasa, ada khilafnya. Kadang-kadang seronok gelak, bercakap laju sampai terlepas.
“Yang penting Azmi, apa dia rasa. Kalau ada yang menggores hatinya, saya minta maaf,” katanya selepas program Kilauan Emas Selebriti 2026, semalam.
Pelakon filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan itu turut mengakui gurauan antara rakan yang mungkin dianggap biasa secara peribadi tidak semestinya sesuai dipertontonkan kepada khalayak ramai.
Katanya, sensitiviti penonton perlu diambil kira meskipun hubungannya dengan Azmi berada dalam keadaan baik dan penyanyi itu sendiri memahami konteks gurauan berkenaan.
“Tapi apa pun kita minta maaf atas sensitiviti. Saya sebagai manusia kena ada sensitiviti.
“Kalau ada terlepas dan menggores hati orang yang mendengar, saya minta maaf. Azmi kawan saya dan dia okey tapi benda itu tak sepatutnya jadi tontonan umum,” jelasnya.
Mengulas kritikan mengenai isu seumpama itu yang didakwa berulang, Jihan sekali lagi mengakui kesilapan boleh berlaku ketika mengendalikan program secara langsung.
“Kita manusia, kadang-kadang jalan secara langsung ada silap, tak boleh nafikan.
“Ada mungkin terlepas dan sebagainya saya minta maaf. Kita bukan sempurna, yang penting adalah kepada tuan badan,” katanya.
Dalam pada itu, Azmi menjelaskan dia langsung tidak berkecil hati dengan Jihan dan memahami gurauan dalam kalangan rakan industri biasanya bertujuan mewujudkan suasana mesra.
“Tak ada, memang langsung tiada. Biasanya walaupun gurauan kadang-kadang kasar, bukan Jihan, sesiapa kawan-kawan di luar sana pun.
“Tapi kita faham mereka nak bergurau dan nak rapat dengan kita. Saya tak pernah simpan dalam hati,” katanya.
Bagaimanapun, pelantun Hanya NamaMu itu mengakui gurauan sesama rakan boleh menimbulkan persepsi berbeza apabila disiarkan kepada khalayak yang tidak mengetahui hubungan sebenar antara mereka.
Menurut Azmi, penonton yang tidak mengenali mereka secara dekat mungkin berasa kurang selesa atau salah memahami konteks gurauan berkenaan.
“Dalam masa sama, kita pun akui kadang-kadang gurauan kawan-kawan terbawa dalam televisyen. Penonton tak kenal kita rapat akan rasa tak seronok,” ujarnya.
Kontroversi tercetus selepas Azmi, yang merupakan individu orang kurang upaya (OKU) penglihatan, hadir sebagai juri jemputan pada pentas akhir Kilauan Emas Selebriti 2026 bersama Datuk Ramli MS.
Program berkenaan turut menampilkan Jihan dan Datuk Yusry sebagai juri tetap.
Beberapa perbualan Jihan ketika siaran langsung kemudian menerima kritikan dalam kalangan penonton yang mendakwa gurauan tersebut beberapa kali menyentuh keadaan fizikal Azmi.
Walaupun Azmi menegaskan dirinya tidak tersinggung, Jihan mengakui batas gurauan tetap perlu dijaga terutama apabila sesuatu perbualan disiarkan secara langsung kepada khalayak ramai. – MYBERITA
