SHAH ALAM – Pengorbanan peserta yang meluangkan masa, tenaga serta mengeluarkan kos sendiri sepanjang menyertai Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES2026) wajar dihargai dengan imbuhan yang setimpal, kata maestro muzik, Datuk Ramli MS.
Ramli, 67, berkata, beliau terkejut selepas mengetahui peserta termasuk pemenang program realiti berkenaan tidak menerima sebarang hadiah berbentuk wang tunai.
Menurutnya, meskipun program itu memberi manfaat dari segi publisiti dan peluang untuk selebriti kembali aktif dalam industri, pemberian habuan tambahan sekurang-kurangnya dapat menghargai komitmen mereka sepanjang pertandingan.
“Saya tabik dengan semua sebab kos awak datang, masa dan baju semua. Sepatutnya harus setimpal, saya tak kata kepada Astro, jangan salah faham.
“Cuma saya pertama kali dengar satu pertandingan juara tak dapat apa-apa. Itu patut fikir sekurang-kurangnya ada imbuhan yang berbaloi buat mereka,” katanya ketika sidang media KES2026, semalam.
Ramli atau lebih dikenali sebagai Tok Ram berkata, peserta juga perlu membuat persediaan setiap minggu dengan membawakan dua hingga tiga lagu, selain menanggung pelbagai perbelanjaan sepanjang menyertai program berkenaan.
Katanya, usaha peserta tetap wajar dipuji walaupun terdapat dalam kalangan mereka yang menganggap penyertaan itu sebagai amal dan peluang untuk kembali berkarya.
“Macam Tok Jalal (Jalaluddin) kata dia buat amal jariah itu memang sifat orang lama. Orang dulu-dulu mana ada buat kerja berkira duit,” katanya.
Dalam pada itu, Tok Ram mengakui KES2026 memberikan nilai positif kepada peserta, khususnya mereka yang sudah lama tidak muncul di kaca televisyen.
“Program ini sangat bagus bagi televisyen dan peserta yang masuk. Bagi kalian iklan untuk kerjaya.
“Kalau ada yang dah lama tak keluar televisyen, bagus untuk program. Cuma satu, tambahlah sikit hadiah buat mereka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Datuk Jalaluddin Hassan diumumkan sebagai juara KES2026, manakala Datuk Ahmad Tamimi Siregar menduduki tempat kedua.
Zila pula berada di tempat ketiga, diikuti Fazlina Ahmad Daud, Amyza Aznan dan Rahhim Omar.
Sebelum ini, Zila turut mempersoalkan ketiadaan hadiah wang tunai atau habuan untuk pemenang musim kali ini.
– KOSMO!
