BATU PAHAT – Cita-cita untuk mengikut jejak langkah arwah ibunya sebagai doktor pakar tidak kesampaian apabila pelajar tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, maut dalam kejadian di sebuah sekolah di Yong Peng, di sini, semalam.
Anak kepada seorang jurutera dan doktor pakar kesihatan awam itu dikatakan mempunyai impian untuk meneruskan legasi ibunya dengan berkhidmat sebagai doktor pakar di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Ibu saudara mangsa, Siti Nur Faeza Khyar, 45, berkata Irene Sofiya atau lebih mesra dipanggil Fiya pernah berkongsi cita-cita berkenaan dengannya sebelum ini.
Menurutnya, arwah ibunya meninggal dunia akibat kanser hati ketika Fiya berusia sembilan tahun, manakala bapanya kini bekerja sebagai jurutera di Bangi, Selangor.
“Fiya pernah bercakap kepada saya dan bertanya doktor apa yang sesuai untuknya. Saya jawab lebih baik jadi doktor pakar sakit puan.
“Dia cakap hendak menjadi doktor seperti arwah ibunya,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu bapanya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, malam tadi.
Siti Nur Faeza yang juga seorang guru berkata, Fiya merupakan seorang pelajar yang pendiam, rajin dan sangat menumpukan perhatian terhadap pelajaran.
Katanya, mangsa juga tidak pernah menimbulkan sebarang masalah kepada keluarga, malah sering memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Kalau ada peperiksaan, Fiya sama ada mendapat tempat pertama ataupun kedua dalam tingkatan.
“Dia juga berpotensi memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan di sekolahnya.
“Fiya adalah antara pelajar harapan keluarga dan sekolah. Dia memang suka mengulang kaji dan sangat fokus terhadap pelajaran,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Nur Faeza berkata, keluarga tidak dapat membayangkan ketakutan yang dialami Fiya sebelum ditemui selepas dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas kelas tambahan berakhir pada jam 5 petang, semalam.
Katanya, beliau bersama ibunya, Jameyah Rabani, 65, turut keluar mencari mangsa selepas dimaklumkan mengenai kehilangan anak saudaranya itu.
“Saya tidak dapat membayangkan kesakitan dan kesengsaraan yang dia tanggung sebelum kami menemuinya.
“Bayangkan dia berada dalam kesakitan dengan berlumuran darah, namun tiada siapa tahu keadaannya ketika itu.
“Tindakan pelaku sangat kejam. Kami berharap polis dapat menjalankan siasatan dan memastikan individu yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal,” katanya.
– KOSMO!
