KUALA LUMPUR – Bapa tiri kepada pemain skuad Bawah 23 (B-23) negara, Haqimi Azim Rosli dilaporkan meninggal dunia pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pemain muda yang berusia 22 tahun menerusi satu hantaran di laman Instagram. Dalam perkongsiannya, Haqimi menyatakan pemergian bapanya berlaku secara mengejut dan menjadi tamparan besar buat keluarganya.
Tambahnya, walaupun kehilangan itu amat berat untuk diterima, mereka sekeluarga tetap reda dengan ketentuan Ilahi.
“Saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa papa saya telah meninggal dunia pagi tadi. Pemergiannya sangat mengejutkan dan berat untuk kami sekeluarga terima, tetapi kami reda dengan ketentuan Allah. Saya mohon jasa baik semua untuk mendoakan arwah papa.”
“Semoga Allah mengampunkan dosanya, menerima segala amalnya, dan memberikan tempat yang indah buatnya di sisi-Nya. Doakan juga agar kami sekeluarga diberi ketabahan dan kekuatan melalui saat sukar ini. Terima kasih atas doa dan sokongan semua,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bapa tirinya itu diserang strok dan berada dalam keadaan kritikal.
Allahyarham yang juga merupakan seorang pelakon, Shahrol Asikin Mohd Sharif juga dikenali sebagai Daddy Rock mendapat perhatian ramai termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada Mei 2024, Allahyarham pernah menerima bantuan untuk mendapatkan rawatan, perbelanjaan harian dan dijadual menjalani pembedahan jantung tidak lama selepas itu.

