Rabu, 5 Ogos 2026
spot_img
PelbagaiPERHILITAN pantau gajah dengan dron, elak kemalangan berulang

PERHILITAN pantau gajah dengan dron, elak kemalangan berulang

KUALA TERENGGANU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu akan menggunakan dron bagi memantau serta mengawal pergerakan gajah di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) susulan kemalangan yang melibatkan sekumpulan haiwan itu baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, pemantauan menggunakan dron akan memberi tumpuan di Kilometer 274.6 berhampiran Plaza Tol Cheneh, Kemaman, yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko.

Menurut beliau, PERHILITAN telah menggerakkan pegawai serta anggota renjer ke lokasi kejadian selepas kemalangan membabitkan pasangan suami isteri yang cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dipercayai melanggar sekumpulan gajah yang sedang melintas jalan kira-kira jam 10.20 malam semalam.

“PERHILITAN sudah mengambil tindakan dan menggerakkan pasukan renjer bagi memantau selain menggunakan dron untuk mengesan kumpulan gajah yang dikatakan melintas jalan sehingga menyebabkan pasangan suami isteri itu cedera,” katanya.

Dalam kejadian itu, Abdul Wahid Ismail, 54, dan isterinya, Fauziah Muda @ Jusoh, 52, dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian tangan selepas Toyota Estima yang dinaiki mereka melanggar sekumpulan gajah.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, sekiranya kumpulan gajah berkenaan masih dikesan berkeliaran di kawasan tersebut, PERHILITAN akan mengambil tindakan menghalaunya kembali ke habitat asal.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya bertenang sekiranya terserempak dengan gajah di LPT2 dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ancaman kepada haiwan berkenaan.

Katanya, pengguna dinasihatkan supaya tidak membaling objek, menghampiri gajah, membunyikan hon atau menyalakan lampu tinggi ke arah haiwan tersebut kerana tindakan itu boleh menyebabkan gajah bertindak agresif.

Sebaliknya, pengguna diminta memperlahankan kenderaan dan memberi laluan sehingga kumpulan gajah selesai melintas dengan selamat.

Menurut Razali, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan kumpulan gajah yang melintas jalan itu tersesat dari laluan asal, sekali gus memasuki kawasan lebuh raya.

Beliau berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan risiko kejadian seumpama itu berulang pada masa hadapan.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-