Rabu | 30/09/2026 | 7:05:01 pm
HomeNegeriKrisis Negeri SembilanSiapa urus portfolio selepas 10 Exco digugurkan? Nicole tuntut penjelasan SUK N9

Siapa urus portfolio selepas 10 Exco digugurkan? Nicole tuntut penjelasan SUK N9

SEREMBAN – Persoalan mengenai siapa yang kini mengendalikan portfolio kerajaan negeri serta status kemudahan rasmi bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dibangkitkan susulan pembatalan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan yang berkuat kuasa sejak 20 September lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon mengemukakan lima persoalan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menerusi satu surat terbuka, termasuk mengenai pengurusan portfolio sementara menunggu sebarang pelantikan baharu.

Nicole yang juga Ketua Wanita DAP Negeri Sembilan berkata, kejelasan mengenai perkara itu penting bagi memastikan urusan pentadbiran negeri terus berjalan tanpa menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam dan rakyat.

“Dalam keadaan yang agak luar biasa ini, kejelasan pentadbiran amat penting bukan sahaja kepada penjawat awam, tetapi juga kepada rakyat, supaya segala urusan Kerajaan Negeri dapat diteruskan tanpa kekeliruan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah mekanisme yang sedang digunakan kerajaan negeri bagi memastikan portfolio dan fungsi yang sebelum ini dikendalikan 10 Exco terbabit terus beroperasi sementara menunggu perkembangan selanjutnya.

Beliau turut meminta penjelasan berhubung prosedur pemulangan atau pengurusan kenderaan serta aset rasmi kerajaan negeri yang sebelum ini diperuntukkan kepada Exco berkenaan.

Selain itu, Nicole mempersoalkan sama ada penyelarasan sudah dibuat terhadap penggunaan pejabat, kad akses, kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kemudahan rasmi lain yang berkaitan dengan jawatan berkenaan.

Turut dibangkitkan ialah status billboard, papan tanda, laman sesawang, akaun media sosial serta bahan rasmi jabatan dan agensi kerajaan negeri yang mungkin masih memaparkan struktur pentadbiran terdahulu.

Nicole turut mahu mengetahui sama ada arahan pentadbiran sudah dikeluarkan kepada ketua-ketua jabatan bagi menjelaskan saluran arahan dan urusan rasmi selepas perubahan berkenaan.

“Saya mengemukakan persoalan ini dengan penuh hormat dan semata-mata dari sudut tadbir urus serta kelancaran pentadbiran negeri,” katanya.

Menurutnya, penyelarasan yang jelas diperlukan bagi memberi keyakinan kepada semua pihak bahawa pentadbiran Negeri Sembilan terus berfungsi secara teratur dan profesional.

Pembatalan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan telah diwartakan pada 24 September lalu dengan kuat kuasa bermula 20 September 2026.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pada 26 September dilaporkan berkata pembatalan berkenaan adalah sah mengikut peruntukan undang-undang negeri dan dibuat berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Sebelum itu, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengambil pendirian berbeza dengan menyatakan barisan Exco berkenaan masih sah menjalankan tugas berdasarkan tafsirannya terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. – MYBERITA

Wartawan MYBERITA
Wartawan MYBERITAhttps://portalmyberita.com/
Wartawan MYBERITA membawakan laporan berita semasa, nasional dan perkembangan terkini dari seluruh Malaysia dengan penyampaian yang pantas, tepat dan mudah difahami.
RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Rabu, 30 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|