YONG PENG – “Dia sempat pandang muka nenek sebelum terkulai dan tidak bergerak lagi.”
Itulah detik terakhir yang tidak mungkin dilupakan Jameyah Rabani, 66, apabila cucunya, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, menghembuskan nafas terakhir dalam pelukannya selepas ditemukan berlumuran darah di sebuah sekolah menengah di sini, petang Sabtu.
Jameyah berkata, dia memegang remaja yang mesra dipanggil Fiya itu sambil memanggil namanya dan mengajarnya mengucap ketika keadaan cucunya semakin lemah.
“Saya pegang dia, panggil nama Fiya dan ajar dia mengucap. Dia sempat pandang muka nenek sebelum terkulai dan tidak bergerak lagi,” katanya.
Menurut Jameyah, kejadian itu bermula kira-kira pukul 5.30 petang apabila dua rakan Fiya datang ke rumahnya selepas berasa pelik melihat motosikal remaja berkenaan masih berada di sekolah, sedangkan Fiya tidak kelihatan.
Bimbang dengan keadaan cucunya, Jameyah bersama anak sulungnya, Siti Nur Faeza, 45, yang baru tiba dari Kluang kemudian bergegas ke sekolah berkenaan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka.
Mereka bersama beberapa rakan Fiya mencari remaja berkenaan di sekitar kawasan sekolah sebelum salah seorang rakannya menemukannya di dalam dewan.
Jameyah berkata, dia kemudian terdengar jeritan meminta dirinya segera datang kerana terdapat banyak darah.
“Apabila saya sampai, saya lihat Fiya masih memberi reaksi apabila namanya dipanggil, tetapi keadaannya sangat lemah dan berlumuran darah,” katanya.
Menurut Jameyah, dia reda dengan pemergian cucunya yang dijaga sejak berusia sembilan tahun, namun sukar menahan kesedihan mengenangkan keadaan remaja itu ketika ditemukan.
Fiya tinggal bersama datuk dan neneknya selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser hati.
Sementara itu, datuk mangsa, Khyar Abas, 69, berkata, dia tidak menyangka perbualan ringkas bersama cucunya ketika bersarapan pada pagi kejadian menjadi pertemuan terakhir mereka.
Katanya, dia sempat bertanyakan sama ada Fiya mahu mengikut neneknya menghadiri kenduri perkahwinan di kampung, namun remaja itu memilih untuk berada di rumah kerana mempunyai kelas dalam talian pada pukul 11 pagi sebelum menghadiri kelas tambahan di sekolah pada pukul 2 petang.
“Fiya juga mempunyai kelas tambahan di sekolah pada pukul 2 petang.
“Kami memang tinggal bertiga sejak Fiya berusia sembilan tahun. Dia seorang yang tidak pernah menyusahkan hati atuk dan nenek serta kuat belajar,” katanya.
Pemergian Fiya meninggalkan kesan mendalam buat pasangan berkenaan selepas kira-kira tujuh tahun membesarkan remaja itu seperti anak sendiri.
Kes berkenaan kini dalam siasatan pihak berkuasa dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan. – MYBERITA
