Khamis, 11 Jun 2026

Naim Daniel serah pasport antarabangsa, sebutan kes 18 Ogos depan

PUTRAJAYA – Menghadapi pertuduhan serius tidak menghalang penyanyi dan pelakon, Muhammad Naim Daniel Baharin atau lebih dikenali sebagai Naim Daniel, untuk kekal tenang dan memaklumkan bahawa dirinya berada dalam keadaan baik.

Bercakap kepada pihak media selepas selesai prosiding di Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini, Naim, 28, menyatakan tumpuan utamanya kini adalah terhadap kesejahteraan diri.

“Alhamdulillah, saya sihat. Terima kasih kepada yang bertanya. Buat masa ini, fokus saya hanya pada kesejahteraan diri,” katanya ringkas kepada MYBERITA.

Naim turut meluahkan rasa terharu atas sokongan berterusan yang diterima daripada para peminat sepanjang tempoh sukar ini. Beliau juga bersyukur apabila keluarganya turut memberikan dorongan dan doa yang tidak putus-putus.

“Keluarga semua dalam keadaan baik. Mereka terus beri sokongan dan doa yang baik buat saya,” tambahnya.

Ketika ditanya mengenai kehadirannya di media sosial, selebriti itu memilih untuk tidak memberikan ulasan panjang dan hanya menyatakan ingin memastikan dirinya berada dalam keadaan terbaik.

Dalam perkembangan berkaitan, peguamnya, Datuk Amirul Ridzuan Hanif memaklumkan bahawa Naim telah menyelesaikan pembayaran wang jaminan sebanyak RM12,000 seperti yang ditetapkan mahkamah.

“Pasport antarabangsa anak guam saya juga telah diserahkan kepada pihak mahkamah. Kes ini akan disebut semula pada 18 Ogos depan di Mahkamah Sesyen Putrajaya,” katanya.

Terdahulu, Naim mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam prosiding tertutup.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor, pada 19 Mei lalu. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin, manakala Naim diwakili dua peguam bela iaitu Mohd. Irwan Sumadi dan Datuk Amirul Ridzuan Hanif.

Naim sebelum ini ditahan pada 3 Jun lalu bagi membantu siasatan, namun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil.

Ahmad Naufal
Ahmad Naufal
ahmadnaufal@portalmyberita.com