MELAKA – Lelaki yang tular selepas rakaman memaparkan dirinya membelasah dan melanggar kepala isterinya dengan motosikal di Kota Shahbandar baru-baru ini direman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga 23 Mac itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Uthman Abd. Ghani terhadap suspek berusia 22 tahun.
Permohonan reman dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Siti Norhayati Zainan bagi membantu siasatan kes.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Terdahulu, suspek yang bekerja sebagai penghantar barang berjaya ditahan kira-kira jam 11 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Kemendor, Jasin selepas polis melancarkan operasi memburunya.
Sejak Isnin lalu, tular klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi lebih satu minit yang memaparkan tindakan kejam suspek menampar, menarik rambut serta melanggar kepala mangsa dengan motosikal ketika wanita itu berada dalam keadaan terbaring.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala dan pipi kanan sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka pada jam 4.41 pagi untuk menerima rawatan di zon merah.
Selepas menerima rawatan, mangsa dibawa pulang ke rumah ibunya di Tanjung Minyak Perdana sebelum laporan polis dibuat berhubung kejadian tersebut.

