KUALA LUMPUR – Tindakan tidak bermoral seorang lelaki dipercayai warga asing yang didakwa membuang air kecil di atas eskalator sebuah stesen MRT di sini mencetuskan kemarahan orang ramai selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Insiden berkenaan dirakam dalam kejadian yang dipercayai berlaku di MRT Titiwangsa, apabila seorang lelaki berbaju hitam dan berseluar pendek dilihat berdiri di atas eskalator sebelum kelihatan cecair mengalir dari celahan pakaiannya.
View on Threads
Menurut individu yang merakam kejadian tersebut, insiden itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Baru nak pergi kerja ternampak warga asing kencing berdiri dan bersepah dalam MRT Titiwangsa,” katanya menerusi perkongsian di Threads.
Lebih mengejutkan, lelaki terbabit dilihat kekal tenang dan tidak menunjukkan sebarang reaksi seolah-olah tiada kejadian tidak senonoh berlaku di tempat awam tersebut.
Perkongsian video itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya berang dengan tindakan berkenaan kerana dianggap mencemarkan kebersihan serta memberi ketidakselesaan kepada pengguna lain, lebih-lebih lagi di kawasan kemudahan awam yang disediakan dengan tandas.
“Kalau betul tak tahan sekalipun, pergilah cari tandas. Ini memang pengotor,” kata seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi netizen pula menzahirkan rasa kecewa terhadap sikap individu terbabit.
“Weh seriously? Sampai bila nak kena hadap benda macam ni. Pengotor sangat,” tulisnya.
Orang ramai turut menggesa pihak berkuasa dan pengendali pengangkutan awam mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti individu terbabit serta memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.


