KUALA LUMPUR – Pelakon Julia Farhana Marin mendedahkan dia dan suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum masih berstatus suami isteri yang sah, namun kini dalam proses untuk memfailkan perceraian.
Julia, yang sudah tujuh bulan tidak bertemu suaminya, berkata mereka telah tinggal berasingan dan melalui fasa perpisahan hampir setahun.
Menurutnya, proses perceraian masih dalam persiapan berikutan urusan dokumentasi yang perlu diselesaikan, selain komitmen lakonannya yang semakin sibuk.
“Saya dah tak jumpa dia selama tujuh bulan. Tapi saya dah berpisah dengan dia dah hampir setahun. Saya akan memfailkan perceraian.Masih dalam proses sebab urusan surat-menyurat banyak dan saya pula tiba-tiba sibuk berlakon. Tapi status kami masih suami isteri,” katanya kepada media.
Julia berkata, dia berharap segala urusan berkaitan perceraian dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan sebarang salah faham terhadap dirinya mahupun suaminya.
“Saya cuma harap sangat benda ini akan selesai secepat mungkin sebab tak nak menimbulkan salah faham untuk diri saya dan untuk orang itu juga.
“Saya juga berharap dia akan beri kerjasama yang baik supaya saya boleh teruskan hidup,” ujarnya.
Julia berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada acara Sidang Media Astro 30 “Thank You Malaysia” di TGV Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, pelakon berkenaan memilih untuk tidak mendedahkan secara terperinci perkara yang berlaku dalam kehidupan rumah tangganya.
Menurut Julia, isu perkahwinan melibatkan dua individu dan dia tidak mahu sebarang kenyataan yang dibuat secara terbuka mencetuskan masalah atau pertikaian yang tidak sepatutnya.
“Sesuatu telah berlaku dalam kehidupan peribadi saya, yang saya rasa tak adil untuk saya kongsikan secara terperinci. Tapi ia mengenai perkahwinan saya dan saya rasa semua orang tahu setakat ini yang saya sedang melalui sesuatu dalam perkahwinan.
“Tak adil untuk saya cakap apa-apa sebab perkahwinan adalah satu institusi yang melibatkan dua orang,” katanya.
Julia menegaskan dia kekal dengan pendiriannya untuk tidak membuka sebarang cerita berkaitan masalah rumah tangganya kepada umum.
“Saya tetap dengan pendirian saya tak nak cerita apa-apa atau tak nak buka apa-apa cerita sebab ia akan membawa kepada masalah yang tak perlu ataupun pertikaian yang tak perlu,” ujarnya.
Untuk rekod, Julia dan Dr Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2022.

